Halaman

05 March 2011

Pekerti tinjau tempat menarik di Terengganu

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Persatuan Kebajikan Isteri Wakil-wakil rakyat dan Pegawai-pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti) membuat lawatan rasmi ke negeri ini selama tiga hari ( 4 hingga 6 Mac).

Rombongan seramai 40 orang terdiri ahli-ahli Pekerti diketuai Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin iaitu isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, merangkap Yang Dipertua Pekerti,

Semalam (Jumaat), Raja Datin Seri Salbiah dan rombongan diraikan dalam satu majlis makan malam bersama –sama To’ Puan Seri Norliza Mahmud, isteri Menteri Besar Terengganu merangkap Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) , di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk.

Hari ini (Sabtu) ahli-ahli Pekerti dan Serikandi bertemu di gelanggang badminton dan bowling, mengadakan perlawanan persahabatan di Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Rombongan Pekerti turut dibawa ke Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dan dibawa masuk ke Taman Monumen, Masjid Kristal serta menaiki River Cruise sambil menikmati keindahan Bandar Kuala Terengganu melalui jalan air.

Sesiapa saja yang berkunjung ke negeri ini tidak lengkap jika tidak singgah ke Pasar Payang untuk membeli batik, barangan kraf, barangan tembaga dan juga makanan tradisional seperti keropok lekor, semang, coklat nisan dan sebagainya.

Rombongan Pekerti akan berlegar di Pasar Payang sepanjang hari Ahad sebelum bertolak balik ke Negeri Sembilan pada sebelah petangnya.