Halaman

12 March 2011

Penganjur pameran mistik perlu bincang Majlis Fatwa Kebangsaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Pelbagai pihak yang ingin menganjurkan pameran mistik atau sebarang bentuk pameran yang dikhuatiri boleh menimbulkan kontroversi, perlu mendapatkan pandangan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang hebahan mengenai cadangan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata dari satu sudut pihak penganjur mungkin mempunyai niat yang baik untuk menonjolkan sesuatu perkara seperti mistik atau penyalahgunaan dadah bagi menyedarkan orang ramai agar mereka tidak terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang oleh agama.

“Bagaimanapun, Majlis Fatwa Kebangsaan mempunyai pandangan dari sudut lain di mana mereka mengambil kira perkara negatif lebih banyak daripada positif, menyebabkan mereka melarang sesuatu pameran itu dilakukan,” katanya.


Pameran mistik atau sebarang bentuk pameran yang dikhuatiri boleh menimbulkan kontroversi, perlu mendapatkan pandangan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu. - (Gambar Hiasan)

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan syarikat Dynasty Event Sdn Bhd untuk mengadakan pameran alam mistik di Dataran Shahbandar pada bulan depan.

Buat masa ini, kerajaan negeri akan melihat secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pameran tersebut yang dikatakan bercanggah dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sebelum ini, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) sebelum meluluskan pameran itu.

Mengikut laporan akhbar Kosmo baru-baru ini, Setiausaha Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata jawatankuasa itu sudah membuat ketetapan sejak 2007 bahawa pameran seperti itu adalah haram diadakan kerana tidak mahu masyarakat Islam disogok dengan perkara tahyul dan khurafat.

Haji Khazan berkata, masalah itu tidak akan timbul jika syarikat berkenaan berbincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum menghebahkannya kepada orang ramai.

“Jika didapati hasrat mengadakan pameran itu tidak mendapat izin majlis berkenaan, pihak penganjur tidak perlu meneruskannya kerana ia menimbulkan pelbagai masalah,” tambahnya.