Halaman

07 March 2011

Perbicaraan SMS Ugut

Pengurus Syarikat Telekom (Special Affair), Yusof Hashim, memberitahu mahkamah bahawa beliau memberikan maklumat kepada pihak polis mengenai data-data yang dicatatkan berhubung kes bicara SMS berunsur ugutan bunuh.

Dalam prosiding di depan Hakim M.Bakri Abd.Majid di Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu petang ini saksi tersebut memberitahu mahkamah bahawa ada prosedur yang perlu dipatuhi sebelum pihak berkenaan mendapatkan maklumat mengenai data-data yang terdapat dalam telefon atau internet.

Berikut adalah catatan soal-jawab berkenaan:

Pendakwa Raya: Apakah tugas-tugas awak selaku Pengurus Syarikat Telekom bahagian Special Affair ?
Yusof: Saya menjalankan siasatan dalaman dan liaison officer (pegawai perhubungan) untuk mengeluarkan maklumat dalaman kepada agensi-agensi penguatkuasa kerajaan.

Pendakwa Raya: - Apakah maklumat-maklumat itu ?
Yusof: Maklumat yang berkaitan dengan internet dan telefon.

Pendakwa Raya: Tadi awak kata awak kerja di bahagian Special Affair, apa fungsi bahagian itu?
Yusof: Sama seperti tugas saya iaitu menjalankan siasatan dalaman dan memberi maklumat kepada agensi-agensi penguatkuasa kerajaan.

Pendakwa Raya: Bagaimanakah jika ada agensi yang mahukan maklumat mengenai telefon atau internet ?
Yusof: Mereka mesti mengikut prosedur yang ditetapkan. Agensi berkenaan perlu mengemukakan permohonan sama ada melalui telefon atau faks maklumat yang diperlukan ke pejabat saya.

Pendakwa Raya:Selepas itu apa yang berlaku ?
Yusof: Pihak pejabat saya akan memfailkan permohonan tersebut dan mengemukakan permohonan kepada TMnet untuk mengeluarkan maklumat yang diperlukan oleh pemohon.
Selepas itu, maklumat akan dimajukan kepada saya oleh pihak TMnet dan saya akan membuat salinan dan member jawapan kepada pemohon dalam bentuk format yang mereka mahukan sama ada melalui faks atau serahan tangan jika pemohon datang sendiri.

Pendakwa Raya: Apa awak buat jika pemohon hadir sendiri?
Yusof: Jika pemohon hadir sendiri kita akan serah tangan kepada mereka.


Pendakwa Raya: Kamu ada terima permohonan untuk dapat maklumat dari ASP Hazwan?
Yusof: Ya, saya ada terima permohonan daripada ASP Hazwan.


Pendakwa Raya: Apa yang diminta oleh ASP Hazwan?
Nuvaraj : Dia minta maklumat sejumlah IP berkaitan tarikh dan masa penggunaan telefon dan pelbagai maklumat seperti yang dicatatkan dalam senarai barang kes dari muka surat 1 hingga 2. Saya minta pembantu saya, Puan Rozita Maarof membuat carian maklumat-maklumat yang diperlukan. Selepas itu, maklumat tersebut dikemukakan kepada saya.

Pendakwa Raya: Kenapa kamu suruh Puan Rozita yang cari maklumat itu?.
Nuvaraj : Sebab dia ada IP password untuk mengeluarkan maklumat-maklumat yang diperlukan.

Pendakwa Raya: Setelah kamu mendapat semua maklumat yang diperlukan, apa yang kamu buat ?
Nuvaraj : Saya sediakan format dan memindahkan maklumat yang diberi kepada saya kepada format yang dikehendaki oleh pemohon.

Pendakwa Raya: Selepas itu apa yang berlaku ?
Nuvaraj : ASP Hazwan minta saya buat carian selanjutnya berkaitan nombor talian GMT-0800. Saya call Puan Rozita dan minta dia buat carian berdasarkan maklumat baru yang diperlukan oleh pelanggan. Saya minta dia beri keutamaan kepada kes ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, sementara Datuk Dr Ahmad Ramzi diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chooi Gaik.

Hakim kemudiannya menetapkan perbicaraan bersambung esok.