Halaman

09 March 2011

PERDANA MENTERI LAWAT TERENGGANU 30 APRIL DEPAN



Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bersama isteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dijangka membuat lawatan ke Terengganu pada 30 April ini.

Lawatan ini tentunya bermakna kepada Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar kerana akhir bulan Mac ini adalah genaplah tiga tahun beliau diamanahkan menerajui Terengganu.


Dato’ Seri Ahmad menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar pada 23 Mac 2008 dan mengangkat sumpah menjawat jawatan itu di Istana Maziah pada 30 Mac 2008.

Kehadiran Presiden Umno ini juga amat bermakna berikutan Dato’ Seri Ahmad dilantik menerajui semula Umno Terengganu, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu pada 1 Januari baru-baru ini.

Mengumumkan lawatan ini, Dato’ Seri Ahmad berkata, ia adalah siri lawatan Perdana Menteri ke negeri-negeri seluruh negara dalam usaha mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.


Kira-kira tiga bulan lalu iaitu pada Disember 2010, Perdana Menteri telah hadir ke negeri Terengganu melancarkan Kelab Motor Terengganu bersama ribuan remaja di Stadium Tertutup, melawat pasar Chabang Tiga dan berkunjung ke rumah warga emas Esah Mamat,90 tahun di kampung berkenaan.


Sesungguhnya kehadiran Perdana Menteri amatlah dialu-alukan oleh rakyat Terengganu, lebih-lebih lagi dari kalangan ahli dan pendokong Umno yang amat berterima kasih kerana memberi kepercayaan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad menerajui semula Umno Terengganu.
Oleh: Ruslan Rahman