Halaman

24 March 2011

Pilihan raya Sarawak 16 April

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Sarawak ke-10 akan diadakan pada 16 April iaitu hari Sabtu manakala penamaan calon 6 April (Rabu).

Ini bermakna parti-parti politik yang akan mengambil bahagian dalam pilihan raya itu mempunyai masa 10 hari untuk berkempen.

SPR menerima makluman secara rasmi mengenai pembubaran DUN Sarawak pada 21 Mac lalu bagi memilih Adun-Adun baru untuk mengisi kerusi-kerusi DUN yang ditetapkan di seluruh negeri itu.

SPR akan menggunakan daftar pemilih suku pertama , kedua, ketiga dan keempat tahun 2010 yang didaftarkan pada 25 Mac lalu yang melibatkan 979,796 pengundi. Daripada jumlah itu, seramai 961,433 orang adalah pengundi biasa manakala 18,368 pengundi pos.

Bagi melancarkan proses pengundian, SPR menyediakan 1,740 pusat pengundian dengan 2,561 saluran untuk pengundi membuang undi.

Bagi pilihan raya Sarawak kali ini SPR menyediakan 24,379 petugas, termasuk 71 Pegawai Pengurus Pilihanraya (RO) bagi memastikan proses penamaan calon, pengundian dan pengumuman keputusan pilihan raya, berjalan lancar.

Berdasarkan Pilihan Raya Sarawak ke-9 yang diadakan pada 20 Mei 2006, Barisan Nasional (BN) memenangi 62 kerusi daripada keseluruhan 71 kerusi yang dipertandingkan.

Parti Tindakan Demokrat (DAP) pula hanya menang enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuma menang satu kerusi.

Dua parti lain iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dan calon Bebas (Parti Cinta Malaysia) masing-masing menang satu kerusi.