Halaman

18 March 2011

Program tadarus al-Quran terbuka di Masjid Kristal

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Program tadarus al-Quran sempena musim cuti sekolah yang diadakan di Masjid Kristal akan diadakan secara terbuka berkonsepkan program realiti televisyen, bagi menarik minat pelbagai lapisan masyarakat menyertai program tersebut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Muhammad Ramli Noh, berkata langkah ini perlu bagi memastikan lebih ramai rakyat Terengganu menyertai program itu bagi menarik minat mereka membaca kitab suci berkenaan.

“Di Terengganu terdapat ramai orang yang mampu membaca al-Quran dengan baik dan sesetengahnya pula merupakan hafiz dan hafizah. Oleh itu, program tadarus ini merupakan medan terbaik bagi mereka untuk membaca al-Quran secara beramai-ramai dan menarik minat golongan lain mendekati al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup dan Khatam al-Quran Program Tadarus al-Quran Sempena Cuti Sekolah yang diadakan di Masjid Kristal, petang semalam.

Program tersebut dianjurkan Radio Malaysia Terengganu (Tfm) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Yayasan Terengganu dan Taman Tamadun Islam (TTI) Management.

Seramai 30 pelajar Sekolah Menengah IMTIAZ seluruh Terengganu menyertai program tersebut yang diadakan selama lima hari mulai 13 Mac lalu.

YB Haji Muhammad Ramli berkata, beliau yakin program tadarus yang bakal diadakan seperti konsep Imam Muda akan menarik lebih banyak penyertaan dan ini boleh membantu mengimarahkan lagi Masjid Kristal.

“Kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkenaan, terutamanya Tfm bagi merealisasikan cadangan tersebut,” ujar beliau.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya, Tfm yang menjayakan program tersebut dan berharap lebih banyak program yang bertujuan meningkatkan syiar Islam dijalankan pada masa depan.