Halaman

28 March 2011

RM62 juta untuk e-Book dan Pegawai Eksekutif Maklumat setahun

Oleh: Aida Abd Rahman


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. - Foto: Zulkipli Putra.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM62 juta setahun bagi menyediakan e-Book kepada setiap pelajar Tahun Lima serta menggaji Pegawai Eksekutif Maklumat (EIO) yang ditempatkan di setiap sekolah seluruh Terengganu bagi memantau keberkesanan penggunaan papan digital elektronik itu.

Sehingga kini, sebanyak 69, 798 e-Book sudah diagihkan sejak 2009. Daripada jumlah itu, sebanyak 21,923 diagihkan kepada pelajar Tahun Empat.

Seramai 91,725 pelajar akan mendapat manfaat daripada penggunaan papan digital elektronik itu sehingga penghujung tahun ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan membelanjakan RM1 juta sebulan atau RM12 juta setahun bagi membayar gaji EIO, manakala RM50 juta (setahun) diperuntukkan untuk menyediakan e-Book kepada pelajar Tahun Empat dan Lima.

Seramai 422 EIO ditempatkan di 348 sekolah menengah dan 74 sekolah rendah seluruh Terengganu. Manakala 128 juruteknik sekolah turut dilantik dan ditempatkan di setiap daerah bagi membaiki sebarang kerosakan kecil yang berlaku pada e-Book.

“Kita belanjakan RM12 juta setahun untuk bayar gaji EIO, manakala RM50 juta untuk bekalkan e-Book kepada setiap pelajar. Malah, kira-kira 3,500 guru Tahun Enam juga dibekalkan dengan kemudahan komputer riba.

“Perbelanjaan menyediakan kemudahan itu termasuk dalam peruntukan keseluruhan RM200 juta setahun yang disediakan Kerajaan Terengganu bagi tujuan pendidikan dan modal insan. Tiada negeri lain yang sanggup memperuntukkan jumlah yang besar sebagaimana Terengganu,” katanya ketika Majlis Perjumpaan menteri Besar Bersama-sama Pengetua, Guru Besar dan EIO, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (27 Mac).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran , Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud dan Pengurus Besar Kolej Pusat Kemahiran dan Pembangunan Negeri Terengganu (Tesdec), Haji Che Razali Adis.

Sementara itu, Menteri Besar meminta supaya EIO yang dilantik dapat menyelaras tugas mereka dengan 800 guru Angkatan Kerja Rajin dan Mulia (Akram) khususnya dalam menyediakan soalan untuk program T-Skor.

“Saya berharap supaya EIO dapat menjalankan tugas dengan lancar serta membantu menjayakan matlamat kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu.

“Pelantikan EIO sebagai nilai tambah dalam memastikan keberkesanan penggunaan e-Book dan kita akan melakukan nilai tambah itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 14 kekosongan EIO yang bakal diisi oleh mereka yang berkelayakan tidak lama lagi.