Halaman

28 March 2011

Rumah mampu milik bakal dibina di DUN Bukit Tunggal

Oleh: Suriati Ali

Taman perumahan bernilai RM30 juta yang bakal diwujudkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal tahun ini nyata dapat membantu penduduk setempat terutama berpendapatan rendah memiliki kediaman.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, projek rumah mampu milik yang melibatkan 300 unit rumah pangsa setinggi empat tingkat itu dijangka siap akhir tahun depan.

“Pihak kami masih mencari tapak kediaman seluas kira-kira dua hektar di kawasan DUN Bukit Tunggal untuk membangunkan projek berkenaan yang sudah mempunyai peruntukan.

"Apabila siap kelak, projek itu akan dilengkapi dengan pelbagai prasarana termasuk surau, dewan orang ramai, taman permainan dan tempat letak kenderaan semata-mata untuk keselesaan serta kemudahan penduduk," katanya.

Dato’ Mohd Nasir berkata projek berkenaan dilihat mampu menangani masalah kekurangan tempat tinggal terutama bagi golongan muda yang sudah mempunyai berkeluarga.

Katanya, projek berkenaan sangat diperlukan memandangkan kawasan Kuala Nerus khasnya Bukit Tunggal begitu pesat membangun sekaligus dapat memenuhi hasrat penduduk yang ingin lebih banyak taman perumahan diwujudkan di kawasan mereka.