Halaman

16 March 2011

Tahap pengangkutan awam dipertingkat.

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri menerima suntikan bantuan kewangan sebanyak RM112.05 juta melalui pembiayaan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA) Kerajaan Pusat untuk membina Terminal Bersepadu di Kuala Terengganu dalam usaha menaiktaraf sistem pengangkutan awam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib berkata, peruntukkan berkenaan juga digunakan untuk membina terminal baru di Dungun, Besut, Kemaman dan Marang.

“Turut tersenarai dalam mempertingkatkan tahap pengangkutan awam ialah menaiktaraf termina di Setiu, pembinaan terminal ‘park & ride’ dan pusat transit di Hulu Terengganu serta hentian bas,” katanya.

Selain itu katanya, pembinaan jalan KT-Bypass yang dirancang sebelum ini akan diteruskan bagi memastikan sistem rangkaian jalan yang sistematik dan teratur untuk pembangunan kawasan bandar baru Bukit Besar.

Pembinaan jalan ini juga dapat menghubungkan ke Jambatan Pulau Sekati, Jalan Tok Kong ke Bukit Guntong seterusnya ke Jambatan Losong Feri dan Bukit Datu.

“Beberapa jalan sokongan lain akan dibina termasuklah Jalan Gong Nangka ke Bukit Kor, Marang; Jalan Mak Jintan, Setiu ke Batu Rakit, Kuala Terengganu; Jalan Pecah Rotan ke Kampung Lingai di Kuala Terengganu serta menaiktaraf Jalan tanjung Baru, Lerek, Kepah di Hulu Terengganu dan jalan Kubu ke Felda Chadur di Marang,” katanya.

Katanya, di samping pembangunan ekonomi , pelaksanaan sistem jalan yang baik dan teratur boleh dijadikan altenatif penguraian trafik kepada pengguna jalan raya.