Halaman

17 March 2011

TDM Berhad bina hospital baru.

Oleh: Suriati Ali

Terengganu Development Management (TDM) Berhad, akan membina sebuah hospital pakar swasta baru membabitkan perutukan RM120 juta di Kuantan, Pahang.

Pengerusi TDM Berhad, Datuk Haji Roslan Awang Chik berkata hospital setinggi tujuh tingkat, yang dijangka siap pembinaannya tahun depan, bakal dilengkapi dengan kemudahan teknologi perubatan moden dan terkini.

"Apabila siap kelak, pembinaan ini mampu menaikkan lagi imej syarikat dan Terengganu kerana berupaya membina hospital swasta terbesar di wilayah Pantai Timur.

“Hospital itu cukup penting, kerana ruang bangunan Kuantan Medical Centre yang ada sekarang semakin terhad disebabkan permintaan pelanggan semakin tinggi setiap tahun,” katanya.

Sebelum ini TDM sudah mempunyai tiga buah hospital bersaiz sederhana iaitu Kuala Terengganu Specialist Hospital di Terengganu, Kuantan Medical Centre di Kuantan dan Kelana Jaya Medical Centre di Selangor.

Roslan berkata adalah menjadi matlamat TDM untuk kekal sederhana dengan konsep pakar perubatan komuniti yang menawarkan penjagaan kesihatan tanpa elemen-elemen kemewahan.

"Dengan kata lain, perkhidmatan yang ditawarkan menitikberatkan pelanggan atau pesakit dan seterusnya mampu dinikmati oleh orang ramai.

“Perkhidmatan yang ditawarkan di semua hospital milik TDM adalah setanding dengan apa yang terdapat di hospital negara-negara maju,” katanya.

Dalam hal ini, TDM terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan untuk menawarkan khidmat kepada orang ramai, katanya.