Halaman

13 March 2011

Terengganu jadi hub pelaburan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Terengganu sebagai hub pelaburan yang berkompetitif di rantau Asia dengan melaksanakan pelbagai pendekatan dan perubahan supaya lebih banyak syarikat tempatan dan asing menyatakan minat untuk melabur.

Program promosi pelaburan dan menaiktaraf infrastruktur di kawasan sedia ada giat dijalankan manakala lokasi berpotensi sebagai kawasan perindustrian akan terus dikenalpasti dan diselia bagi memastikan mendapat keuntungan.

Berdasarkan perangkaan yang dicatatkan Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) sebanyak RM2.8 bilion pelaburan dicatatkan pada tahun lalu, membabitkan 42 projek bermutu tinggi.

Sebanyak RM2.1 bilion melibatkan pelaburan tempatan dan RM217 juta adalah pelaburan asing yang yang berminat melabur di pelbagai lokasi di Terengganu.

Kawasan perindustrian Kerteh menjadi lokasi paling popular pelabur, diikuti daerah Kemaman, Kuala Terengganu, Telok Kalong, Cheneh Baru Ketengah, Wakaf Tapai dan Batu Rakit.

Kawasan Kerteh dan Kemaman menjadi lokasi pilihan berikutan terdapat bahan mentah seperti petroleum, petrokimia, salika, minyak dan gas asli.

Seramai 7,349 peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada rakyat terutama golongan belia dan graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam serta Swasta hasil daripada pelaburan itu.