Halaman

09 March 2011

Tidak cukup Islamkah Kerajaan BN?

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pemimpin Pas sering mendakwa mereka mahu menubuhkan sebuah negara Islam jika diberi kuasa untuk memerintah negara ini.

Kata mereka kerajaan yang ada sekarang ini tidak Islamik dan mereka mahu mengubah kerajaan supaya menjadi sebuah kerajaan yang Islamik.

Benarkah dakwaan itu? Sebagai tatapan, kita ikuti beberapa perkara atau langkah yang dilakukan Kerajaan Terengganu bagi memartabatkan agama Islam di negeri ini.

Mulai awal tahun ini, Kerajaan Terengganu bersetuju menaikkan bayaran imbuhan bulanan imam dari RM600 kepada RM800 manakala bilal daripada RM450 kepada RM600 sebulan.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang besar iaitu kira-kira RM12 juta pada setiap tahun bagi membayar elaun imam dan bilal yang bertanggungjawab membantu mengimarahkan masjid.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri akan mempertimbangkan permohonan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) agar dihidupkan semula bantuan khas tambang penerbangan kelas ekonomi pergi dan balik untuk menunaikan fardu haji kepada imam dan bilal masjid mukim, yang berkhidmat melebihi 10 tahun dan belum pernah menunaikan haji.

Kerajaan negeri juga akan meneruskan Program Anugerah Imam Bilal Cemerlang yang dimulakan sejak tahun 2006, sebagai motivasi kepada golongan tersebut untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

Pada tahun lepas, kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meluluskan peruntukan kira-kira RM2.5 juta bagi mengadakan 25,691 aktiviti termasuk ceramah/kuliah agama di masjid dan surau, Kelas Pengajaran
Agama di pejabat dan Kelas Mendalami Agama (Tafakkuh) di seluruh negeri.

Bagi program Skim Menghafaz al-Quran pula, kerajaan negeri menyediakan peruntukan kira-kira RM2 juta setahun bagi membayar elaun kepada para hafiz dan hafizah.

Pada musim cuti sekolah ini JHEAT, Maidam dan beberapa agensi lain telah mengadakan kerjasama dengan Radio Malaysia Terengganu (Tfm), mengadakan program tadarus al-Quran di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam selama lima hari berturut-turut.

Program ini akan dirakamkan oleh Tfm dan disiarkan sepanjang bulan Ramadan yang akan disambut pada bulan Ogos depan.

Dengan kesungguhan kerajaan negeri memartabatkan syiar Islam itu, penulis ingin bertanya adakah tidak cukup Islamik kerajaan sedia ada hinggakan kita mahu menggantikan dengan kerajaaan lain yang lebih Islamik?