Halaman

24 March 2011

Umno atasi masalah dalaman

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Umno Terengganu berjaya mengurangkan masalah dalaman dan kini berada dalam kedudukan terbaik bagi menghadapi pilihan raya umum kerana pemimpinnya mengetepikan kepentingan peribadi, demi masa depan parti .

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Encik Yahya Khatib Mohamad, berkata pihaknya melalui jawatankuasa pengurusan sentiasa memantau keadaan itu dan akan mengambil tindakan segera jika didapati terdapat masalah tertentu yang timbul, bagi menjaga kestabilan parti.

“Alhamdulillah dengan berkat muafakat dan atas kesedaran semua pemimpin Umno sayang kepada parti kita, masalah dalaman parti dapat diselesaikan secara baik,” katanya ketika menjawab soalan pihak media mengenai perbalahan yang dikatakan berlaku dalam pucuk pimpinan Umno Terengganu.

Malah, beliau berkata, pemimpin Umno Terengganu kini sedia menerima apa saja arahan daripada pucuk tertinggi pimpinan, termasuk dalam menentukan soal calon jika berlaku pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Kenyataan ini pastinya akan menggembirakan rakyat negeri ini, khususnya pemimpin di peringkat sayap parti dan cawangan-cawangan Umno yang mehu melihat parti itu terus teguh dan menerajui Barisan Nasional (BN) pemerintahan negeri ini selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Ia juga bakal menjadi tonik untuk mereka bekerja keras bagi memantapkan lagi parti dalam setiap peringkat dan merealisasikan hasrat pucuk pimpinan Umno untuk terus menerajui pemerintahan negeri ini selepas PRU 13 dan merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh Pas.

Kini lapan DUN dikuasai oleh Pas dan tidak mustahil jumlah itu boleh dikurangkan jika pemimpin dan ahli Umno mengembleng tenaga dan bersatu bagi menjatuhkan calon Pas yang bertanding di DUN berkenaan pada pilihan raya akan datang.