Halaman

29 March 2011

UniSZA anjur syarahan perbezaan pendapat mahzab

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menganjurkan Syarahan Akademik Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) kepada orang ramai, Khamis ini.

Syarahan Akademik bertajuk 'Harmonizing Juristic Disagreement Towards the Unity of Ummah' (Mengharmonikan Perbezaan Pendapat Mazhab ke Arah Penyatuan Ummah) itu akan disampaikan Pengarah Yayasan Islam Kanada, Dr Yusuf Muhyiddin Riq El-Bakhur Al-Hasani.

Dr Yusuf Muhyiddin juga merupakan anggota Majlis Ulama Syria dan Penasihat Kehormat Komuniti Muslim di Amerika Utara serta Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Lubnan.

Ketua Jabatan Syariah FKI, Tengku Fatimah Muliana Tengku Muda berkata syarahan akademik itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang keanjalan Islam dalam mendepani kekeliruan yang timbul dari percanggahan pendapat di kalangan ulama dan mazhab.

Syarahan yang dijangka dihadiri 570 peserta itu akan diadakan di Dewan al-Muktafi Billah Shah, kampus Gong Badak, bermula pukul 10 pagi.

"Golongan profesional khususnya ahli akademik, wakil jabatan, badan atau institusi kerajaan dan swasta, pelajar serta masyarakat awam dialu-alukan menyertai syarahan akademik yang diadakan secara percuma itu," katanya.