Halaman

02 March 2011

Walau bimbang, tetap restui penglibatannya-ibu Azizulhasni Awang

Oleh: Aida Abd Rahman


Ibu kepada Azizulhasni Awang, Selamiah Yong, bersama suami menunjukkan Insentif Skim Kemenangan (SHAKE) dan Insentif Skim Wakil Negara (SWARA) yang diterima di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu.

“Naluri keibuan saya tetap bimbangkan keselamatan dia walaupun dia mengakui sudah pulih dan mahu ke kejohanan Dunia Trek di Apeldoorn, akhir bulan ini. Saya amat bimbang kesan kecederaan itu akan memudaratkannya. Namun, jauh di sudut hati saya saya merestui apa saja yang mahu dilakukan dan mendoakan dia mampu mencapai hasratnya,” kata Selamiah Yong, 47, ibu kepada Azizulhasni Awang ketika ditemui di majlis penyampaian Insentif Skim Kemenangan (SHAKE) dan Insentif Skim Wakil Negara (SWARA), di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, kelmarin (2 Mac).

Selamiah yang ditemani bapa Azizulhasni, Awang @ Muda Embong, dari Kampung Nibong Stesyen, Dungun hadir ke majlis itu sebagai mewakili ikon sukan negara itu menerima insentif daripada Kerajaan Terengganu berjumlah RM15,000.
Pemenang pingat emas acara keirin di Sukan Asia itu menerima RM10,000 bagi kemenangan itu dan RM5,000 kerana memenangi gangsa bagi acara pecut lelaki berpasukan di Sukan Komanwel ke-19, New Delhi tahun lalu.



Kata Selamiah, Azizulhasni memintanya untuk hadir menggantikannya pada majlis itu kerana dia terikat dengan latihan dan proses pemulihan daripada kecederaan yang dialaminya pada Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester, dua minggu lepas.

Pelumba yang mendapat jolokan `The Pocket Rocketman' itu terlibat dalam insiden yang menyebabkan bertis kirinya ditusuk serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter.

Bagaimanapun, pelumba basikal trek yang menjadi sandaran utama meraih emas pada Sukan Olimpik London 2012 itu berjaya menamatkan perlumbaan dan meraih pingat gangsa bagi terus mengungguli ranking pertama Siri Klasik Piala Dunia.

Azizulhasni selepas keluar daripada Hospital Diraja Manchester minggu lalu, kini sedang berehat di rumahnya di Melbourne, Australia dan dikatakan sudah mula berkayuh kira-kira 10 minit hari ini, selain membuat latihan ringan dengan bergerak di sekeliling rumah bagi memastikan badannya tetap aktif.

Selamiah berkata, anaknya itu merupakan seorang yang kental dan `keras kepala’ kerana dia akan melakukan apa yang dikehendakinya selagi berdaya walaupun kadangkala dia menghalang hasratnya itu.

“Kalau dia cakap dia nak buat, dia akan buat, walaupun saya menghalangnya kerana dia cukup bersemangat dan tidak akan melayan perkara yang remeh-temeh demi mencapai cita-citanya , terutama apa sahaja berkaitan dengan ` dunia basikalnya’,” katanya.

Selamiah juga berharap semangat dan kegigihan Azizulhasni menjadi ikutan atlet Terengganu yang lain kerana tiada apa yang mustahil bagi semua atlet jika mahu mencapai hasrat dan kejayaan yang lebih gemilang, bukan hanya di negeri sendiri malah di bumi asing.

Azizulhasni dijangka akan pulang bercuti di kampung pada April ini selepas selesai menjalani latihan dan menghadapi kejohanan di Apeldoorn, selain membawa keluarga serta isteri menunaikan umrah.