Halaman

10 March 2011

YPU sedia RM8 juta untuk buka 100 T’Shoppe

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Usaha (YPU) menyediakan peruntukan RM8 juta untuk membuka 100 cawangan T'Shoppe menjelang tahun 2013 di seluruh Malaysia di mana pada masa kini, terdapat 20 rangkaian itu termasuk tiga T’Shoppe di luar Terengganu.

Pengurus Besar YPU, Encik Azmi Razik, berkata jumlah kutipan jualan T’Shoppe bergantung kepada keadaan semasa dan lokasi. Kebiasaanya memperoleh antara RM1,500 hingga RM3,500 sehari.

Katanya, T’Shoppe Kuala Berang antara rangkaian yang paling laris dan mendapat pandapatan kasar lebih RM100 ribu sebulan.

“Pelbagai jenis makanan tradisional terdapat di T’ Shoppe bagi memudahkan pelancong tempatan dan luar negara mendapat produk Terengganu.

“Langkah yang dilaksanakan ini nyata dapat membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing di mana sebelum ini sukar untuk berbuat demikian kerana mendapatkan syarat ketat dari pasar raya ternama tempatan,” katanya.

YPU turut melaksanakan program `Satu Kampung, Satu Koperasi’ di mana menyasarkan 600 koperasi dengan keanggotaan seramai 500,000 individu.

Pada masa sekarang sebanyak 438 koperasi telah didaftarkan di seluruh Terengganu dengan keahlian 241,109 orang. Ia dijangka mampu menyumbang dua peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.