Halaman

21 April 2011

3,000 rakyat sambut PM di Pekan Batu Enam


Pekan Batu Enam

Kira-kira 3,000 orang, termasuk sebahagian besarnya para peniaga akan menyambut ketibaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, ke Pekan Batu Enam yang terletak di kawasan dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, pada 30 April ini.

Pelbagai persiapan awal sedang rancak dilakukan di kawasan itu bagi menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negara, yang sememangnya amat dinanti-nantikan penduduk kawasan tersebut.

Perdana Menteri akan mengadakan lawatan sehari ke Terengganu sempena Program Turun Padang (PTP) pada 30 April di mana dua kawasan DUN yang kini dikuasai pembangkang, termasuk Bukit Tunggal, menjadi tumpuan lawatan itu.

Satu lagi kawasan DUN pembangkang yang menjadi tumpuan lawatan Perdana Menteri ialah Manir yang letaknya tidak jauh dari Pekan Batu Enam.

Kehadiran beliau dijangka menaikkan semangat jentera parti Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk melakukan persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Beliau dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada jam 8.45 pagi dan terus memulakan lawatan ke Pekan Batu Enam dengan berjalan kaki menemui pemimpin dan rakyat di Peti Undi Batu Enam, DUN Bukit Tunggal dan Parlimen Kuala Nerus.

Dato’ Seri Mohd Najib turut dijadualkan menikmati sarapan pagi di Kedai Alias, di Pasar Batu Enam yang menjadi tumpuan penduduk kawasan itu.

Mengikut jadual yang diatur, beliau akan melawat kawasan menjual kuih muih, pasar basar, sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai barangan lain di Pekan Batu Enam.