Halaman

18 April 2011

Berekreasi dan menyertai Nipah Cruise di Taman Rekreasi dan Jeti Tebing Tinggi, Seberang Takir



Nipah River Cruise bersama YB Ahmad Razif




Taman Rekreasi dan Jeti Tebing Tinggi, Seberang Takir akan dimajukan sebagai kawasan riadah, rekreasi dan 'nipah cruise' sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan di Seberang Takir.

Taman dan jeti berkenaan yang terletak di hadapan Pejabat Pos Seberang Takir, kini menjadi kenyataan dan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, sebelah pagi tadi (18 April).

Jeti dan taman rekreasi itu disiapkan oleh Jabatan Kerja Raya(JKR) dengan kos RM290,000 yang akan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan aktiviti air dan 'nipah cruise'.


Jeti Tebing Tinggi yang baru siap di bina (depan Pejabat Pos Seb.Takir)

YB Ahmad Razif dalam ucapannya menyatakan 'nipah cruise' ini adalah menggunakan bot-bot 'fiber' yang sedia ada oleh pemiliknya di Seberang Takir untuk tujuan membawa
pelancong meneroka alur sungai hingga ke Hulu Takir.

Beliau berharap untuk fasa kedua, sebuah lagi jeti akan dibina bagi di Hulu Takir pula bagi memberi peluang peserta 'nipah cruise' melihat perusahaan membuat atap, nira dan pelbagai produk nipah, termasuk ternakan ketam nipah di Kampung Batin.



Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu masjid baru di hujung tanjung Seberang Takir akan dibina dan sebahagiannya akan berada di dalam air sebagai tarikan pelancong.

"Rang-rang ikan sedia ada akan dibina dengan lebih baik dan di sana pelancong juga berpeluang melihat proses pembuatan ikan kering dan keropok secara tradisional,termasuk menumbuk ikan menggunakan lesung kayu dan 'menggentel' keropok" katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkata, di hujung Takir itu adalah lokasi sejarah perlaksanaan hukum Islam dan sebab itulah suatu program 'Jejak Ulamak' melalui sungai (river cruise) akan dianjurkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, ia akan bermula dari Istana Maziah, Taman Tamadun Islam,Tok Syeikh Duyong di Duyong Kecil, Paloh (Tokku Paloh) sehinggalah ke Pulau Manis.

Beliau juga memberitahu, sebuah lagi kawasan untuk menikmati masakan 'Ikan Celup Tepung' (ICT) akan dibina di kawasan pantai di Kampung Baru Seberang Takir, di belakang Pusat Latihan Perikanan, diperluaskan lagi dengan pelbagai produk perikanan.

"Kita mahu Seberang Takir yang maju dengan keropok dan pelbagai produk dari laut ini sebagai hub perikanan dengan kerjasama Jabatan Perikanan katanya.

MAKLUMAT PRODUK NIPAH:

Pokok Nipah yang berumur 5 tahun ke atas sahaja yang sesuai disadat (tapped) untuk
menghasilkan nira nipah.Kadar pengeluaran nira adalah bergantong kepada
persiapan awal sebelum hirisan dibuat seperti “ kaedah urutan tangkai bunga” yang
dibuat, sekiranya tidak dibuat dengan sempurna pengeluaran nira agak berkurangan.Nira nipah mempunyai khasiat dimana dipercayai jika diamalkan boleh menyembuhkan pengidap penyakit kencing manis darah tinggi serta menyejukan tubuh badan.. Selain daripada penghasilan nira nipah , daun nipah boleh dianyam untuk dijadikan atap dan juga dijadikan sebagai pembalut kuih tradisional (Gedong Chak), dibahagian tengah daun nipah bila diraut boleh dijadikan penyapu lidi. Di bahagian pucuk daun Nipah pula boleh dijadikan rokok (rokok daun nipah).Bunga nipah boleh dimakan begitu sahaja sebagai ulam atau dijadikan kerabu. Kelopak bunga menghasilkan aroma yang wangi bila dicampur kedalam teh.Buah nipah yang muda dapat dimakan yang dinamakan attap chee dan boleh dimakan bersama ais kacang ,laincikang dan sebagainya


Oleh:Ruslan AR, gambar: ehsan Utusan