Halaman

12 April 2011

Budaya berniaga diperkenalkan di sekolah

Oleh: Esah Abdullah

Strategi ‘laut biru’ perlu diperkenalkan kepada Pembangunan Usahawan Muda (PUM) bagi cetusan idea dan kreativiti mereka dalam menghasilkan produk yang akan dikomersialkan.

Timbalan Pengurus Besar, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), M. Harith Hassan membuat saranan berkenaan dengan harapan golongan usahawan muda sentiasa membuat perancangan keuntungan untuk jangka panjang.

Katanya, pendedahan budaya berniaga di kalangan pelajar di sekolah menengah perlu berterusan ke arah melahiran bakal usahawan pada masa akan datang.

“Setakat ini terdapat 56 buah sekolah menengah di seluruh negeri telah menyertai PUM dan berharap suatu hari nanti mereka mampu mengeluarkan produk hasil ciptaan sendiri,” katanya di majlis Pelancaran Laman Web PUM di Permai Inn.

Pelancaran laman web ini antara lain katanya, untuk memudahkan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) mengetahui serta memantau setiap perkembangan peserta PUM.

Selain itu katanya, PMINT turut merancang untuk mengadakan seminar pendedahan Sistem Pembangunan Francaisor bersama Perbadanan Nasional Berhad (PNB) pada Mei depan untuk memberi peluang kepada usahawan yang berpotensi mendalami ilmu francaisor.

“Orang ramai yang berminat menyertai seminar berkenaan boleh menghubungi bahagian Pembangunan Industri dan Usahawan PMINT,” katanya.