Halaman

02 April 2011

Hotel di LTSM kegunaan sepanjang musim

Oleh: Aida Abd Rahman


Hotel bertaraf tiga bintang yang sedang dibangunkan Tabung Haji berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. - Foto: Zulkipli Putra.

Hotel bertaraf tiga bintang yang sedang dibangunkan Tabung Haji berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu bukan hanya untuk kegunaan jemaah haji dan keluarga pada musim haji, ia juga memberi kemudahan pelawat dalam dan luar negara untuk transit di Kuala Terengganu sebelum memilih ke destinasi percutian di seluruh Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata hotel yang dibangunkan dalam kompleks Tabung Haji Kuala Terengganu (KTHKT) itu sebagai salah satu lagi aset pelancongan negeri yang menjadi penginapan bagi menampung kehadiran pelawat luar Terengganu.
“Kerja-kerja menanam cerucuk bangunan sedang giat dijalankan.Kita akan pastikan hotel itu kelak akan memberi banyak manfaat kepada orang ramai dan semua pihak,” katanya ketika berucap di majlis Mesyuarat Agung Perwakilan Kali Ke-10 2011 Persatuan Imam dan bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu,baru-baru ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohamad Rozali Salleh dan Naib Yang Dipertua Persatuan Imam dan bilal Masjid Mukim negeri
Terengganu, Haji Mohamad Ibrahim.

Hotel yang dibangunkan dalam Kompleks Tabung Haji Kuala Terengganu (KTHKT) oleh TH Properties Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tabung Haji menelan kos RM69.3 juta dan dijangka siap pada 2012.

Kompleks atas tanah seluas kira-kira 3.2 hektar di reka khas bersesuaian untuk kegunaan semasa musim haji dengan menyediakan dewan ketibaan khas jemaah, tempat berdaftar, Imigresen, tempat pemeriksaan bagasi serta dewan berlepas.

Pembinaannya merupakan antara komitmen dan inisiatif berterusan Tabung Haji dalam usaha menambahbaik perkhidmatan pengurusan jemaah haji dan merupakan strategi baru Tabung Haji dalam mempelbagaikan sumber pendapatan pada masa ini lebih tertumpu kepada pasaran ekuiti.

Dengan kewujudan kompleks itu, proses mengurus jemaah haji ke Tanah Suci Mekah akan menjadi lebih teratur dan kawasan luas di sekeliling kompleks dapat mengelak kesesakan trafik yang biasa berlaku apabila rombongan keluarga jemaah menghantar jemaah ke dewan berlepas.

Dalam pada itu, di luar musim haji, dewan ini dapat digunakan sebagai dewan jamuan yang boleh menampung sehingga 1,000 orang.

Kemudahan lain yang disediakan di KTHKT termasuk bilik mesyuarat, restoran, kolam renang termasuk kolam renang tertutup untuk wanita dan taman air untuk kanak-kanak.