Halaman

02 April 2011

JHEAT sasar sebahagian imam bilal tamat kursus imarah masjid

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mensasarkan 50 peratus imam dan bilal di seluruh negeri dapat menamatkan 34 kursus yang ditawarkan kerajaan negeri kepada kumpulan itu sebelum berakhir tahun ini.

Sehingga kini, kira-kira 4,000 imam dan bilal sudah mengikuti kursus itu sejak tahun lalu. Manakala, kira-kira 5,000 masih belum mengikuti program itu yang akan dijalankan secara berperingkat-peringkat.
Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohamad Rozali Salleh, berkata pihaknya akan memilih kira-kira 10 peratus lagi atau sejumlah 1,000 daripada jumlah keseluruhan imam dan bilal mengikuti kursus terakhir yang dijadualkan tidak lama lagi.

“Kita akan menyambungnya apabila kerajaan negeri mengarahkan berbuat demikian. Setakat ini kita kena pastikan sebahagian imam dan bilal sudah mengikuti kursus yang bertujuan memperkasakan lagi peranan pemimpin barisan depan dalam masyarakat itu,” katanya ketika berucap di majlis Mesyuarat Agung Perwakilan Kali Ke-10 2011 Persatuan Imam dan bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Naib Yang Dipertua Persatuan Imam dan bilal Masjid Mukim negeri Terengganu, Haji Mohamad Ibrahim.
Haji Mohamad Rozali meminta imam dan bilal yang sudah menamatkan kursus itu supaya menyebar maklumat dan ilmu yang mereka perolehi kepada rakan setugas yang belum berpeluang mengikutinya bagi memastikannya tersebar serta memberi faedah kepada umat Islam keseluruhannya.

“Kita serahkan kepada yang hadir kursus supaya memberi bimbingan kepada yang tidak hadir. Kita bukan hanya mahu kursus itu dimanfaatkan oleh jawatankuasa masjid, malah jawatankuasa kampung seperti JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) dan belia juga mendapat kebaikan daripadanya,” katanya.

Beliau sebelum itu mengucapkan tahniah kepada kepada 111 imam dan bilal yang mewakili 100 peratus perwakilan persatuan itu kerana berjaya hadir ke mesyuarat kali ke sepuluh itu.

Haji Mohamad Rozali turut mengingatkan imam dan bilal sentiasa menunjukka n perilaku dan contoh yang baik kepada masyarakat.

Katanya, imam dan bilal juga menjadi ketua masyarakat yang berperanan menyatu padukan seluruh masyarakat yang semakin hari semakin hilang semangat itu akibat penyakit yang berpunca daripada diri sendiri.

“Jangan menjadi kaum yang berpecah belah dan bertelagah sesama sendiri kerana tidak mentaati arahan ketua,” katanya.