Halaman

12 April 2011

JKR diminta ubahsuai pelan velodrom mini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta mengemukakan pelan lain yang sesuai dengan cadangan kos asal pembinaan velodrom mini di Dungun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata beliau sendiri pun terkejut membaca laporan akhbar yang mengatakan kos pembinaan projek berkenaan terlalu tinggi hingga hingga mencecah RM36 juta.

“Kerajaan negeri akur dengan keputusan agar JKR mengemukakan pelan baru yang sesuai dengan kos cadangan pembinaan velodrom tersebut yang dianggarkan RM3.5 juta saja,” katanya kepada pemberita petang semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, baru-baru ini bahawa kerajaan negeri dan MSN hanya mencadangkan anggaran peruntukan RM3.5 juta setimpal dengan peranan kemudahan itu kelak.

Katanya, anggaran kos oleh JKR dilihat amat tinggi bagi membina sebuah velodrom yang dirancang sebagai pusat latihan selain boleh dijadikan veneu untuk pertandingan peringkat tempatan.

Menteri Besar amat bersetuju dengan kos RM3.5 juta bagi membina velodrom mini di Dungun yang bertujuan menggalakkan rakyat tempatan berkecimpung dalam sukan lumba basikal.

“Jika pembinaannya menjangkau RM36 juta itu sudah dikira projek di peringkat nasional,” tambahnya.

Menteri Besar berharap velodrom tersebut dapat dibina secepat mungkin bagi membolehkan ia digunakan oleh golongan belia yang berminat dalam sukan berkenaan.