Halaman

06 April 2011

JPNT perkenal Program Pembangunan Personaliti Pelajar

Oleh: Aida Abd Rahman


JPNT mengambil pendekatan proaktif memulihkan pelajar bermasalah supaya lebih cemerlang pada masa depan. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil pendekatan proaktif bagi memulihkan pelajar yang bermasalah dari segi personaliti supaya mereka dapat tampil cemerlang dalam akademik serta mempunyai masa depan yang cerah.

Untuk permulaan, usaha yang dikenali sebagai Program Pembangunan Personaliti Pelajar itu bakal dilaksanakan kepada kumpulan pertama pelajar lelaki dari sekolah menengah seluruh Terengganu.



Pengarahnya, Encik Razali Daud, berkata pihaknya kini dalam proses mengumpul maklumat kumpulan pelajar berkenaan daripada pihak sekolah sebelum melakukan saringan dan pemantauan mengenai kesahihan sama ada kumpulan pelajar itu benar-benar bermasalah dari aspek personaliti.

“Usaha kita adalah penekanan bagi mengembalikan kecemerlangan pelajar dan memulihkan masalah fizikal mereka yang sebenar. Masalah sekarang ini, pelajar lelaki seperti perempuan. Pelajar perempuan seperti lelaki. Pelajar perempuan berpakaian singlet dan sebagainya, manakala pelajar lelaki memakai barang kemas dan gerak- geri seperti keperempuanan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Malam Mesra Media-JPNT, di Hotel Sumai, Kuala Terengganu, malam semalam.

Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Akademik JPNT, Haji Zubir Embong, Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat dan kira-kira 20 pengamal media.

Encik Razali berkata, masalah itu juga terjadi kepada pelajar yang cemerlang dan terbilang dalam pelajaran menyebabkan mereka gagal dalam temuduga untuk memohon biasiswa dan menyambung pelajaran ke luar negeri akibat fizikal mereka yang tidak menggambarkan sifat personaliti sebenar.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil pelajar yang benar-benar bermasalah bagi menyediakan kursus dengan pengisian yang merangkumi fizikal, spiritual dan kerohanian termasuk sesi kaunseling, keagamaan dan ketahanan fizikal bagi memulihkan mereka.

“Selepas menjalani kursus yang kita sediakan, kita akan merekod perubahan yang ditunjukkan pelajar terbabit, kalau ada peserta yang belum berubah kita akan melakukan pendekatan lain dan melihat semula semua aspek termasuk latar belakangnya,” katanya.

Beliau berkata, pendidikan yang diserapkan kepada pelajar perlulah menekankan kepada pencapaian holistik melibatkan kecemerlangan jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Dalam pada itu, Encik Razali berkata pihaknya menggunakan konsep `inside out’ atau mengenal pasti perkara dalaman yang boleh membantu kumpulan pelajar itu berubah ke arah positif, memandangkan adalah sukar mengawal masalah luar yang berlaku terhadap seseorang pelajar itu.

“Kita perteguhkan perkara dalaman dengan harapan kita untuk membantu pelajar mengawal diri mereka dan menyediakan kursus dengan kandungan yang menepati kehendak pelajar , selain kita akan memperbaiki personaliti mereka,” katanya.