Halaman

08 April 2011

Kenyir Island Hopping sedia gamit pelancong

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kenyir Island Hopping (KIH) yang meliputi 10 pulau di kawasan Tasik Kenyir mula menggamit pelancong apabila sebahagian daripada projek berkenaan telah pun siap dan mula dibuka kepada pelancong.

Salah satu daripada pulau yang dibangunkan melalui projek KIH dan dimulakan sejak dua tahun lalu, dijadikan Taman Burung yang kini menempatkan 120 spesies burung. Sebahagian daripada burung tersebut yang amat jinak dan dilepaskan berkeliaran di pulau itu, diimport dari luar negara.

Taman Burung akan mula dibuka kepada para pelawat secara tidak rasmi dalam tempoh terdekat ini manakala Taman Herba sudah pun dibuka kepada orang sejak tahun lalu lagi.

Di Pulau Herba, pelawat bukan saja boleh mengenali beribu-ribu spesies herba yang ditanam di situ, tetapi mereka juga berpeluang menikmati air Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Mas Cotek yang disediakan di pulau berkenaan.

Manakala Taman Orkid yang sedang rancak dilaksanakan dijangka siap pertengahan tahun ini dan boleh dibuka kepada peminat orkid selepas pembinannya siap.

Tinjauan Teganukita di kawasan KIH mendapati secara keseluruhan kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan pembangunan yang dirancang melalui projek KIH sudah pun siap manakala kerja-kerja pembinaannya berjalan lancar.

Sebagai sokongan kepada projek KIH, kerajaan negeri merancang membina Taman Tema Air di Pulau Poh di mana projek itu dijangka dimulakan pertengahan tahun ini.

Selepas projek itu siap kelak, sudah pasti Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara akan menjadi lokasi pelancong yang terkemuka di rantau ini.