Halaman

17 April 2011

Kos RM400 ribu baik pulih asrama terbakar


Oleh: Suriati Ali dan Hazwan Roslee


Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM400,000 bagi membaik pulih bangunan asrama Sekolah Menengah Agama Alfalah Kemaman yang terbakar dalam satu kejadian baru-baru ini.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika hadir merasmikan Majlis Permaufakatan Ibubapa Pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Akademik 2010 di sekolah itu, petang semalam (16 April).

Lebih 500 tetamu termasuk ibu bapa dan pelajar hadir di majlis tahunan itu.

Anugerah pelajar cemerlang bagi tingkatan satu, tingkatan dua dan tingkatan empat, pelajar cemerlang PMR dan SPM 2010 turut disampaikan kepada mereka yang berjaya.

Manakala kos untuk laluan berbumbung menuju ke surau dan menaiktaraf padang bola sekolah seperti yang diminta pihak pentadbiran akan diumum selepas Pejabat Daerah Kemaman dan Majlis Perbandaran Kemaman hadir membuat tinjaun.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata masyarakat terutama pelajar perlu mempelajari sekurang-kurang empat bahasa sebagai persediaan menempuh alam pekerjaan.

Katanya, jika mereka mampu menguasai pelbagai bahasa, mudah bagi mereka memperoleh pekerjaan selain tidak mudah tertipu dengan bangsa asing.

“Pendidikan cukup penting kerana mampu mengubah corak kehidupan dan ekonomi rakyat supaya dapat hidup lebih selesa.

“Saya selalu menyarankan kepada masyarakat hari ini supaya menuntut ilmu daripada buaian sehingga ke liang lahad sekiranya ingin menjadi bangsa bertamadun dan berjaya,” katanya.