Halaman

19 April 2011

MB kesal sikap sambil lewa kontraktor

Oleh: Suriati Ali

Sikap sambil lewa segelintir kontraktor di negeri ini yang melengah-lengahkan kerja pembinaan, terutama membabitkan projek pembangunan kerajaan dan rakyat amat dikesali.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata mereka yang ingin berjaya perlu mengikis sikap negatif itu supaya mereka tidak terus dibelenggu masalah hutang, tekanan serta mengelak daripada dikenakan penalti dan ditamatkan kontrak.

Beliau berkata, apa yang penting, setiap kontraktor perlu bijak merancang sumber kewangan dan bersikap jujur dalam setiap projek yang berjaya diperolehi.

Menurut beliau, tindakan menamatkan kontrak pembinaan atau projek boleh dielak sekiranya kontraktor dilantik bijak merancang jadual dan sumber kewangan.

“Kerajaan negeri tidak mahu perkara sama berlaku kepada projek pembinaan Chalet Eksklusif, Pulau Besar, Setiu yang terbelangkai sehingga kini akibat kelalaian dan kelemahan kontraktor yang dilantik.

“Berdasarkan jadual, 20 unit chalet di kawasan itu sepatutnya sudah boleh digunakan tetamu terutama peserta Kejohanan Sukan Lumba Kuda Antarabangsa yang dianjurkan pada 2008 lalu.

“Disebabkan kegagalan kontraktor, ia hanya dapat menyiapkan 12 unit termasuk satu unit chalet jenis Club House saja sejak di bina 2006 lalu,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Setiu, baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas dengan menamatkan kontrak pembinaaan selepas beberapa amaran diberikan kerana gagal memenuhi syarat.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mencari kontraktor baru dalam tempoh terdekat bagi menyiapkan semua chalet yang dirancang.

“Pulau Besar akan menjadi destinasi pelancongan terbaru di kawasan Setiu apabila chalet bercirikan rumah tradisional Melayu Terengganu siap dibina kelak,” katanya.