Halaman

13 April 2011

PENGURUSAN INFORMASI DAN KOMUNIKASI YANG BERKESAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Mesyuarat dan perbincangan dua hala di antara agensi penerangan negeri Sabah dan Terengganu Isnin lalu (11 April) telah menghasilkan rumusan yang penting ke arah menggerakkan sistem, kaedah dan pendekatan penerangan dan komunikasi yang berkesan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata,pihaknya juga banyak menimba pengalaman Sabah dalam pendekatan dan kesungguhan mereka menyalurkan maklumat kepada rakyat serta pengurusan media yang berkesan.

"Sabah telah memartabatkan pengurusan informasi dengan meletakkan jentera penerangan dan berkaitan dengannya selari seperti program-prgoram pembangunan yang dijalankan dengan paduan agensi pusat dan negeri secara kolektif," katanya kepada Unit Komunikasi Negeri sejurus selepas perjumpaan dan perbincangan bersama agensi penerangan negeri Terengganu dan Sabah di Jabatan Penerangan Kota Kinabalu.

Jabatan Penerangan Sabah mempunyai lebih 400 orang kakitangan dan seramai 40 orang mengurus hal ehwal berkaitan liputan akhbar dan media serta 10 orang jurufoto seluruh negeri.

Antara agensi yang turut serta dalam perbincangan, taklimat dan percambahan bagi pihak kerajaan negeri Terengganu ialah Unit Komunikasi Negeri, Jabatan Penerangan Terengganu,Jabatan Penyiaran Kawasan Timur (Terengganu), Bernama Cawangan Terengganu dan Pejabat Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Agama dan Penerangan).

Turut bersama ialah wakil Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu.

Manakala di pihak Sabah diwakili oleh Jabatan Penerangan Sabah, RTM Sabah, Bernama dan turut hadir sama wakil Persatuan Isteri Wakil-wakil Rakyat Sabah (Barkisa).

Di sebelah malam, rombongan Terengganu diraikan dalam satu majlis makan malam dengan penampilan muzik gambus yang dari masyarakat Melayu Brunei di Sabah tetapi boleh memainkan lagu-lagu masyarakat Kadazan-Dusun.

Menurut YB Haji Khazan, walaupun Sabah mempunyai lebih 30 suku kaum dan etnik tetapi agensi-agensi penerangan di sana telah memainkan peranan berkesan dalam bidang komunikasi.

"Mereka boleh menerima seadanya kedudukan Sabah yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum selaras dengan konsep 1 Malaysia," katanya.

Katanya,kita amat yakin bahawa Terengganu juga mampu menggerakkan jentera penerangan dan komunikasi dengan berkesan ke arah memberi kesedaran tentang hala tuju negeri untuk maju dengan cemerlang di bidang pelancongan, termasuk pembangunan Tasik Kenyir sebagai Zon Bebas Cukai.

Kita sudah terkemuka di bidang pendidikan, sukan dengan pelbagai kecemerlangan dicapai di peringkat nasional, kita mahu maju dan cemerlang pula di bidang pelancongan sepertimana yang dinyatakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said, ujarnya.

Selain itu, katanya YB Haji Khazan, banyak juga program yang terus menjurus kepada bantuan dan kebajikan rakyat, seperti bantuan atap biru, baiki dan bina rumah, bantuan pakaian sekolah, dana hari raya dan sebagainya, semua itu adalah untuk rakyat.