Halaman

23 April 2011

Serikandi jadi tuan rumah kejohanan sukan kebangsaan

Oleh: Esah Abdullah


Yang Dipertua Serikandi yang juga Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) akan menjadi tuan rumah kepada kejohanan sukan badminton serta boling Badan Amal Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Peringkat Kebangsaan pada 6 hingga 9 Julai depan.

Yang Dipertua Serkandi yang juga Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud berkata, tahun ini merupakan kali kedua Terengganu dipilih menjadi tuan rumah kejohnanan sukan tersebut, kali pertama pada tahun 1995 yang hanya melibatkan sukan badminton sahaja.


Katanya, Isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor adalah antara kira-kira 500 ahli yang mewakili 14 persatuan di negeri-negeri akan bertandang ke Kuala Terengganu.

Beliau berkata, dua lokasi yang akan dijadikan tempat kejohanan ialah di Stadium Negeri bagi acara badminton dan Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai bagi acara boling.

"Bagi memastikan kejohanan tersebut berjalan dengan lancar dan sempurna, persiapan telah mula dilaksanakan sejak awal tahun lagi,’’ katanya selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Serikandi kali ke 24 yang dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang di Dataran Marang, semalam (22 April).



Beliau yang akan menyertai acara badminton dalam kejohanan itu berkata, beberapa ahli Serikandi yang terlibat dengan kejohanan tersebut telah mengadakan latihan intensif bagi memastikan Serikandi selaku tuan rumah dapat menjuarai acara yang dipertandingkan.

Terdahulu ketika berucap di majlis itu Norliza berkata, Serikandi membelanjakan kira-kira RM70,000 bagi menyampaikan sumbangan kepada badan-badan kebajikan dan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Parlimen di seluruh negeri.



Katanya, ia merupakan satu aktiviti Serikandi dalam usaha mendekatkan ahli-ahli melalui program kebajikan ke arah melahirkan masyarakat penyayang.

“Sebagai sebuah pertubuhan yang disertai oleh isteri wakil-wakil rakyat ianya diharapkan akan menjadi pemangkin atau penghubung secara terus kepada rakyat,’’ katanya.

Beliau juga berharap, Serikandi dapat dijadikan sebagai contoh kepada pertubuhan wanita lain dalam sama-sama membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

Di majlis itu, Dato’ Hajah Rogayah Sulong yang pernah menjadi johan qariah antarabangsa, kebangsaan dan negeri dalam Musabaqah al-Quran dianugerahkan Tokoh Berjasa. Hadiah disampaikan oleh Dato’ Tengku Putera.