Halaman

14 April 2011

SMIYT Kuala Terengganu dinobat sekolah cemerlang

Oleh; Esah Abdullah

Berdasarkan pencapaian cemerlang dengan kelulusan 10 peratus bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010, Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Terengganu telah dinobatkan penerima Anugerah Sekolah Cemerlang 2010.

Kriteria lain yang menyokong kepada kejayaan itu, termasukah pengurusan dan pentadbiran sekolah, pencapaian hafazan, pencapaian ko-kurikulum di samping pernah mendapat beberapa anugerah kecemerlangan akademik kerajaan negeri, Kementerian Pelajaran dan agensi luar sebelum ini.

Kategori Anugerah Kecemerlangan Hafazan dan Sahsiah Pelajar dimenangi SMIYT Dungun dan Anugerah Kecemerlangan Ko-kurikulum dimenangi SMIYT Besut .

Manakala kategori Anugerah Guru Cemerlang (al-Quran) dan Anugerah Guru Cemerlang (akademik) dimenangi guru dari SMIYT Besut iaitu Encik Mohd Halik Ismail dan Puan Suhaila Salleh.

Selain itu, 405 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima penghargaan kerajaan negeri.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Imtiaz dan Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2010 berlangsung di Wisma Darul Iman hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said telah menyampaikan hadiah berupa piala, wang tunai dan sijil penghargaan. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat dan Pengarah Pelajaran, Encik Razali Daud.