Halaman

13 April 2011

Syarat baru Maidam ke Universiti Al-Azhar

Oleh: Aida Abd Rahman


Majlis penyerahan Zakat Perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad dan Bank Rakyat, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu disaksikan Menteri Besar Terengganu. - Foto: Harish Fadzillah.

Majlis Agama Islam Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan syarat baru supaya semua pelajar di negeri ini yang bakal mengikuti bidang Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir perlu menjalani program khas Skim Al-Ansar.

Skim yang menyediakan kursus Bahasa Arab dan penyesuaian diri dalam tempoh sebulan bermula 15 Mei ini bertujuan mengelak berlaku penangguhan pengajian apabila pelajar tiba di Mesir akibat kegagalan dalam peperiksaan serta Imtihan Qabul (ujian kemasukan).
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Tuan Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata pelajar yang mengikuti Skim Al Ansar itu juga diwajibkan menyertai kursus Biro Tatanegara sebagaimana yang diwajibkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Katanya, dalam peperiksaan dan Imtihan Qabul tahun lalu, seramai 307 atau 47 peratus sahaja pelajar yang lulus daripada 657 pelajar Malaysia yang menduduki peperiksaan itu.

“Pelajar yang lulus termasuk daripada Terengganu, tetapi kita tidak dapat mengesannya kerana mereka tidak melalui Maidam dan juga Yayasan Terengganu sebaliknya mereka pelajar persendirian.

“Berasaskan maklumat yang kita terima ada beberapa pelajar dari Terengganu gagal meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar sebagaimana hasrat mereka sebelum bertolak daripada tanah air, disebabkan kegagalan mereka dalam peperiksaan dalam Imtihan Qabul tersebut,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan Zakat Perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad dan Bank Rakyat, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Tuan Wan Harujan berkata kegagalan dalam peperiksaan itu menyebabkan pelajar terpaksa mengikuti kelas Bahasa Arab yang kemungkinan dianjurkan oleh pihak universiti atau Maahad di Mesir.

Beliau berkata, dalam situasi begini, Maidam tidak boleh membayar bantuan penuh berjumlah RM5,000 setahun disebabkan mereka hanya menuntut di Maahad dan bukan di universiti bagi mengikuti kursus ijazah.

Menurutnya, pelajar terbabit layak dipertimbangkan sebagai penerima bantuan am, iaitu RM1,000 hingga RM2,000 sahaja dan tanggungan pembiayaan berbaki perlu ditanggung oleh ibu bapa pelajar.

Dalam hal itu, katanya, Maidam memutuskan pelajar yang ditaja oleh Maidam hendaklah diberikan kursus asas terlebih dahulu yang merangkumi pengajian Bahasa Arab dan perihal serta perkara yang berkaitan masyarakat Arab supaya dapat lulus dalam peperiksaan dan Imtihan Qabul.

Katanya, Maidam meluluskan peruntukan RM500,000 untuk membiayai kursus ini dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk 100 pelajar yang terpilih bagi menentukan kelayakan pelajar ini.

“Maidam sedang dalam menentukan pelajar yang layak berdasarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia lalu, di mana mereka dikehendaki mendapat 5A dan tiada mata pelajaran yang mendapat C dalam peperiksaan lalu.

“Dalam pemilihan itu akan melibatkan panel daripada Yayasan Terengganu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Unisza dan juga ulamak bagi memperakukan pelajar untuk mengikuti kursus ini,” katanya lagi.

Selain itu, katanya Maidam juga membantu pelajar bagi menguruskan permohonan mereka untuk melanjutkan pelajaran di tiga universiti yang ditetapkan oleh Maidam di Jordan untuk kemasukan September ini.

Katanya, Maidam akan membiayai sepenuhnya tambang penerbangan, selain menguruskan kos dan penterjemahan keputusan SPM pelajar dalam Bahasa Arab, diikuti pengesahan di Wisma Putra serta penyediaan visa.

“Mudah-mudahan bantuan Maidam kepada pelajar dan ibu bapa yang tidak biasa dengan urusan permohonan dokumen melanjutkan pelajaran ke luar negara dan lazimnya menggunakan ejen dengan kadar bayaran tertentu, akan dapat melancarkan urusan mereka serta menyambung pelajaran dengan baik di Jordan,” katanya.