Halaman

12 April 2011

TADC jangka keluarkan 30,000 tongkol jagung hibrid sehari

Oleh: Aida Abd Rahman


Tanaman jagung hibrid di Kampung Nibong, Telemong dijangka mula mengeluarkan hasil bermula penghujung bulan ini. - Foto: Zulkipli Putra.

Sebanyak 30,000 tongkol jagung hibrid dijangka dapat dikeluarkan Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) dalam masa sehari apabila ladang tanamannya di Kampung Nibong, Telemong mula mengeluarkan hasil penghujung bulan ini.

Pengerusi TADC, Encik Razali Idris berkata fasa pertama projek penanaman jagung hibrid itu mula dilaksanakan pada pertengahan Februari lalu di kawasan seluas lapan hektar.
Katanya, tanah di kawasan itu yang kebanyakannya dimiliki oleh orang kampung hanya terbiar selepas tidak lagi diusahakan dengan tanaman padi tetapi TADC mengambil inisiatif menjadikannya kepada projek tanaman jagung hibrid.

"Tanaman itu kini mula mengeluarkan hasil dan kita menjangkakan ia akan dapat dituai pada 23 April nanti di mana setiap hektar mampu menghasilkan lebih 10,000 jagung hibrid bermutu tinggi bagi pasaran tempatan dan luar negara," katanya, semalam.

Jagung hibrid bermutu tinggi itu boleh dituai dalam tempoh dua bulan selepas ditanam dan tanaman itu boleh diusahakan tiga kali dalam setahun.

Hasil kejayaan itu, katanya TADC juga merancang untuk memperluaskan projek tanaman jagung itu kepada lebih 121 hektar tahun ini bagi menampung permintaan terhadap tanaman itu.

Beliau berkata, projek tanaman jagung hibrid sebelum ini telah melalui fasa percubaan sebanyak 15 pusingan dan hasilnya didapati amat berkualiti tinggi sehingga mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pengusaha tempatan serta Nelson's Franchise (M) Sdn Bhd (Nelson's).

"Jadi kita mengharapkan dengan perluasan projek tanaman sehingga lebih 121 hektar nanti ia bukan sahaja mampu menampung permintaan pasaran tempatan tetapi juga luar negara, “ katanya lagi.

Encik Razali berkata, projek itu juga dijangka dapat memberi peluang pekerjaan kepada 150 penduduk tempatan yang terdiri daripada peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).