Halaman

05 April 2011

TATiUC peneraju melahirkan teknorat kejuruteraan lokomotif

Oleh: Aida Abd Rahman

Kolej Universiti Tati (TATiUC) terus meningkatkan usaha untuk muncul antara peneraju dalam melahirkan teknorat berkemahiran tinggi dan berketerampilan dalam pelbagai bidang kejuruteraan termasuk menawarkan kursus terbaru, Kejuruteraan Lokomotif bermula tahun depan.

Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat, berkata TATiUC merintis usaha memperkenalkan kursus itu selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama syarikat pengendali yang membangunkan bidang lokomotif negara dengan kemudahan, teknologi dan kepakaran yang ada.
Dalam perkembangan yang sama, TATiUC turut merancang menubuhkan dua kampus cawangannya di Miri, Sarawak dan Kuala Lumpur pada penghujung tahun ini.

Katanya, dua kampus berkenaan bakal menawarkan kursus peringkat sijil dan
diploma dalam bidang teknologi mesin, minyak dan gas.

Menurut pengerusinya, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, perkembangan itu kian meletakkan TATiUC sebagai `pemain antarabangsa’ dalam arena pendidikan ketika ia menyasarkan untuk menjadi sebuah universiti penuh menjelang 2015.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, berkata sejajar dengan pengenalan kursuus baru itu, sebagai persediaan, beberapa kemudahan asas akan dibina termasuk sebuah landasan percubaan sejauh 1.5 kilometer.

“Dengan kerjasama pengeluar Trem, M-Rails International Sdn Bhd (M-Rails), TATiUC bakal menjadi pusat rujukan, latihan dan kepakaran kejuruteraan berkaitan teknologi dan industri itu selain membekalkan tenaga kerja yang berkemahiran.

“Kita akan pastikan TATiUC dapat merealisasikan hasrat itu serta yakin mampu menyediakan kemudahan kursus lokomotif dan kelengkapan yang terbaik di rantau ini,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan TATiUC turut diberi kepercayaan oleh syarikat berkenaan bagi menghasilkan reka bentuk trem yang dibina di Melaka. TATiUC dijangka menerima peruntukan RM200 juta bagi menjayakan projek kerjasama itu.