Halaman

10 April 2011

Terengganu lancarkan Program Imam Muda Mei ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu menjadi negeri kedua melaksanakan Program Pendidikan Imam Muda (PIM) 2011 sebagai platform mencari pelapis di kalangan imam dan menyelesaikan masalah kekurangan golongan pemimpin agama itu dalam masyarakat, yang bakal dilancarkan di Universiti Malaysia Terengganu pada 20 hingga 21 Mei ini.

Program pertama dilancarkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, di Pekan, Pahang, tahun lalu. Kali ini program dianjurkan Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama penuh Kerajaan Terengganu menerusi portfolio jawatankuasa pelajaran negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata tujuan utama program adalah melahirkan lebih ramai golongan pelajar dan belia yang boleh dilatih menjadi imam dan pemimpin masyarakat yang serba boleh.

“Ia juga menjadi medan melahirkan bakal imam muda yang berilmu, berketerampilan, berkemahiran dan berkebolehan hingga mampu menjadi model kepada generasi belia lain secara teori dan amali.

“Kerajaan negeri optimis dengan usaha yang dijalankan di seluruh negara itu. Malah, Terengganu selaku negeri kedua, akan memastikan lebih ramai golongan imam muda mampu diketengahkan dalam masyarakat kita kelak,”katanya selepas merasmikan satu majlis di Kampung Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan 200 pelajar berusia 15 tahun ke atas termasuk belia dan penuntut IPT dari seluruh Terengganu akan menyertai program yang akan mengenal pasti bakat golongan itu, yang bukan hanya berketrampilan sebagai pelajar, tetapi memiliki ketokohan dan kepimpinan sebagai imam.

“Masalah untuk mencari imam muda amat ketara. Kita berharap ini menjadi landasan terbaik bagi mencungkil bakat dan membantu menyelesaikan masalah ketandusan golongan imam pelapis. Satu panel atau institut khas dilantik bagi memilih peserta yang layak diketengahkan sebagai imam muda,” katanya.

Haji Ahmad Razif, berkata juara Program Imam Muda musim pertama terbitan TV9, saudara Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan dijemput bagi mengendalikan program itu dengan pendekatan dan pengisian yang ditetapkan oleh Jabatan Perdana Menteri.