Halaman

28 April 2011

Umno mula gempur Manir, Bukit Tunggal

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Dalam ucapan di majlis penyerahan tugas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, yang diadakan di Putrajaya, Dato’ Seri Ahmad Said berikrar untuk memastikan Umno terus kukuh di Terengganu, sambil berusaha merampas semula beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai parti pembangkang, pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar yang diberi mandat untuk mengetuai Umno Terengganu dan mengambil alih jawatan itu daripada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memegang jawatan tersebut sejak April 2009, secara berkias berkata:

"Walaupun ada pepatah mengatakan bahawa 'indah khabar dari rupa' tetapi apa yang berlaku di Terengganu adalah 'indah rupa dari khabar'.

"Maknanya Umno Terengganu taklah seburuk yang digambarkan oleh orang dan saya bersedia melakukan apa sahaja demi kemenangan Barisan Nasional," kata beliau.

Bagi menunjukkan kesungguhan untuk merampas semula kerusi yang dimenangi parti pembangkang, Menteri Besar dalam ucapannya ketika merasmikan persidangan berkelompok Umno cawangan, Pergerakan Pemuda dan Wanita Bahagian Kemaman, mengumumkan Umno akan menggempur dua kerusi DUN yang diwakili Pas iaitu Manir dan Bukit Tunggal.

Sesungguhnya kehadiran Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, di dua kawasan itu yang diwakili Pas Sabtu depan, merupakan acara ‘letak kerja’ dalam usaha Umno menggempur kawasan tersebut.

Selepas ini, pelbagai tindakan susulan bakal dilakukan pemimpin Umno Terengganu untuk memenangi semula hati penduduk di kawasan berkenaan, seterusnya memastikan ia kembali semula ke pangkuan Umno pada pilihan raya umum akan datang.

Jika diteliti sejarah lampau, kedua-dua kawasan tersebut bukanlah kubu kuat Pas kerana beberapa pemimpin Umno pernah menang di kawasan berkenaan.

Kawasan Manir kini diwakili pemimpin Pas, Dato’ Haji Harun Taib manakala Bukit Tunggal dimenangi Dr Haji Alias Razak. Kedua-dua wakil rakyat tersebut pernah tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang sama dalam pilihan raya sebelum ini.

Dalam erti kata lain, mereka bukanlah ‘kebal’ dan tidak boleh dikalahkan oleh calon lain pada pilihan raya umum akan datang.

Dengan usaha gigih pemimpin Umno dan BN, diikuti sokongan kuat daripada penduduk di kawasan tersebut, peluang BN memenangi semula kawasan tersebut amat cerah dan jika ini berlaku mereka boleh ‘menghadiahkan’ kawasan itu kepada Presiden parti yang bekerja keras untuk menguatkan semula Kerajaan BN di seluruh negara.