Halaman

16 May 2011

ASDI mampu beri pulangan kompetitif kepada pelabur

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu meningkatkan pelaburan rakyat di negeri ini melalui Amanah Saham Darul Iman (ASDI) agar mendapat pulangan pelaburan yang kompetitif berbanding tabung-tabung lain yang ada di pasaran.

“Pulangan yang kompetitif akan menjadi tarikan kepada pelabur dalam memilih tabung yang boleh memberi pulangan baik, “ kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, pencapaian ASDI juga dipantau berdasarkan prestasi indeks FBM Syariah Busra Malaysia dan aras indeks ini akan menentukan pencapaian ASDI seiring atau lebih baik dari pencapaian pasaran.

Menurutnya, pulangan yang dicapai ASDI ialah 23.16 petarus (2009) dan 19.28 peratus (2010) namun ketika dunia mengalami masalah ekonomi global (2008) pencapaian ASDI juga mengalami penurunan 31.64 peratus tetapi lebih baik dari penanda aras FBM Syariah yang merosot 41.34 peratus.

“Hasil dari usaha pencapaian pulangan ini, jumlah unit dalam edaran telah meningkat dari 376.4 juta (2006) kepada 407.7 juta pada masa ini,” katanya.

Katanya, syarikat pengurusan juga telah mengambil inisiatif menggalakkan kakitangannya mengambil kursus dan peperiksaan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Sekuriti bagi memastikan kecekapan dan kemahiran dalam mengurus dana yang diamanahkan.

“Kecekapan dan kemahiran inilah yang diharapkan akan dapat membuahkan prestasi dan pulangan yang lebih baik dari pasaran,” katanya.

Selain itu pihak pengurusan juga akan terus meningkatkan kesedaran dikalangan pelabur untuk terus melabur didalam instrument pelaburan Syariah seperti ASDI.