Halaman

16 May 2011

Bantuan RM1 juta diperuntukan untuk belia

Oleh: Suriati Ali



Warga belia di Terengganu yang aktif berpersatuan bakal menerima bantuan pentadbiran berjumlah RM1,029,000 sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat Terengganu di Padang Astaka, Kuala Berang pada 19 Mei ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan perkara sama dengan menyampaikan replika cek kepada Menteri Besar Dato’ Ahmad Said di Program Turun Padang (PTP) Perdana Menteri ke Terengganu, baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) mendapat peruntukan sebanyak RM50,000; 19 Pertubuhan Badan Gabungan Belia (PBGB) peringkat negeri mendapat RM152,000; PBGB daerah (RM165,000) dan PBG peringkat cawangan pula memperoleh RM662,000.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat, berkata peruntukan tersebut merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap belia bagi menjayakan pelbagai program mengikut kehendak persatuan masing-masing.

Katanya, setiap program yang bakal dilaksanakan perlu mematuhi peraturan ditetapkan, boleh membawa imej baik kepada Terengganu dan bukannya berunsur negatif.

“Saya ingin memberitahu masyarakat bahawa golongan belia sebenarnya banyak memberi sumbangan dalam pelbagai aspek terutama dalam bidang sukan dan akademik.

“Tidak wajar menuduh golongan itu membawa imej negatif semata-mata kerana banyak perkara yang dilaksana boleh menaikkan imej Terengganu sama ada di peringkat kebangsaan dan luar negara,” katanya ketika media pada sidang akhbar yang diadakan di Radio Televisyen Malaysia Terengganu (RTM) Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu hari ini 916 Mei).

Menurutnya, pelbagai program diwujudkan kerajaan negeri bagi melahirkan belia cemerlang, kreatif, berdaya saing dan taat pada agama, termasuk mewujudkan skim belia tani dan skim niaga.

“Sebagai contoh melalui skim niaga, setiap belia diberi peruntukan sebanyak RM10,000 bagi membuka perniagan menjual jagung atau dikenali sebagai Kios Jagung Rakyat.

“Kerajaan negeri akan menarik blik skim itu sekiranya mereka yang terlibat gagal melaksanakan perniagaan yang diamanahkan,” katanya.

YB Rozi berkata, pihaknya mensasarkan kira-kira 1,000 pertubuhan belia di seluruh negeri sepanjang tahun ini.

Katanya, penubuhan itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan sebuah pertubuhan belia di setiap peringkat jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).