Halaman

07 May 2011

Cegah kerosakan gigi peringkat kanak-kanak

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.2 juta bagi tujuan pemasangan Fluorida Feeder di seluruh negeri bagi memastikan bekalan air mempunyai tahap fluorida pada paras selamat bagi mencegah kerosakan gigi kalangan kanak-kanak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A, Rahman Mokhtar berkata, setakat ini bekalan air mempunyai tahap fluorida pada paras selamat iaitu 0.4 hingga 0.6 ppm atau 62 peratus.


Katanya, masih terdapat empat loji air di negeri ini belum mempunyai fluorida dan dijangkakan dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Sehubungan itu, YB Dr A. Rahman menyifatkan penjagaan kesihatan gigi bagi kanak-kanak berumur enam tahun di negeri ini masih berada pada tahap rendah.

“Kerajaan akan mencari kaedah terbaik dalam usaha memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat terutama ibu bapa agar tidak mengambil ringan dalam soal penjagaan kesihatan gigi anak-anak” katanya.

Mengikut laporan kaji selidik murid sekolah 2007 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, menunjukkan purata kerosakan gigi kanak-kanak berumur enam tahun di negeri ini adalah 6.05 peratus.

“Angka itu meletakkan negeri ini kedua tertinggi di negara ini selepas Kelantan yang mencatat kadar purata 9.22 peratus,” katanya.

Selain itu katanya, purata kerosakan gigi bagi kanak-kanak berumur 12 tahun di negeri ini adalah 1.4 peratus berbanding Semenanjung Malaysia hanya 0.87 peratus.

Oleh yang demikian, kerajaan memandang serius dalam hal berkaitan dan sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat di negeri ini memberi komitmen padu terhadap penjagaan kesihatan gigi.