Halaman

19 May 2011

Dua gelanggang futsal baru setiap DUN

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan




Kerajaan negeri akan membina dua buah gelanggang baru futsal bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu untuk kemudahan golongan belia beriadah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pada masa ini oleh dikatakan setiap DUN sudah ada gelanggang futsal yang didirikan kerajaan bagi tujuan yang sama.

“Matlamat kerajaan setiap peti undi akan ada satu futsal untuk golongan belia bersukan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu di Padang Astaka Kuala Berang, petang ini.

Hadir sama Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Noor Othman; Adun Jabi, YB Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Wan Mohamad Wan Ibrahim.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, gelanggang tersebut yang berharga antara RM100,000 hingga RM150,000 setiap satu akan dibina dalam tempoh terdekat ini.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta pemimpin persatuan belia di negeri ini supaya merancang aktiviti yang berfaedah untuk golongan belia.