Halaman

05 May 2011

Enam ribu atlet Sukanun berkampung di Terengganu

Oleh: Esah Abdullah



Kontijen yang dibarisi 230 peserta dari Universiti Malaysia Terengganu berazam untuk mengutip sebanyak mungkin pingat dalam Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun (Sukanun) Kebangsaan yang akan bermula Sabtu ini.



Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman berkata UMT selaku tuan rumah, pihaknya sudah bersiap sedia untuk menyambut 6,000 peserta dan pegawai akan menyertai kejohanan sukan kedua terbesar selepas Sukan Malaysia (Sukma) itu.

“ Walaupun kita tidak sehebat pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mempunyai ramai atlet kebangsaan, tidak bermakna kita harus menyerah begitu saja,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di UMT hari ini.

Katanya, sebanyak 20 acara sukan yang akan dipertandingkan dan 17 acara menawarkan pingat manakala pertandingan memancing menawarkan hadiah wang tunai (RM3,000, RM2,000 dan RM1,000) serta acara mencari harta karun .

Menurut Prof Dr Aziz, acara pertandingan memancing diperkenalkan untuk pengemar kaki pancing di samping usaha UMT memperkenalkan pelbagai keunikan dan budaya serta sesuai dengan lokasi negeri yang terletak di persisiran pantai.

Semua acara akan diadakan di Stadium Tengku Muhammad Ismail UMT kecuali acara boling yang akan diadakan di Mesra Mall Kemaman dan beberapa acara akan berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga kerana jumlah penglibatan agensi badan berkanun mencapai hampir sekali ganda tahun ini berbanding kejohanan Sukanun keenam yang berlangsung di Pulau Langkawi dua tahun lalu.

Katanya, tahun ini terdapat 70 agensi daripada 92 agensi akan menyertai sukan ini berbanding 55 agensi dalam Sukanun di Pulau Langkawi.

“UMT amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang banyak memberi sokongan termasuk memberi peruntukan kepada UMT bagi menjayakan Sukanun kali ini yang memilih Kuda Laut sebagai maskot rasmi,” katanya.

Katanya, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan melakukan perasmian Sukanun V11 ini pada 9 Mei pukul 9 malam di UMT.