Halaman

31 May 2011

Imbuhan menanti atlet Terengganu ke Sukma Kuala Lumpur

Oleh: Aida Abd Rahman


"Kita buktikan bahawa kita bukan jaguh kampung dan kita boleh memenangi Sukma dua kali berturut-turut sebelum ini bukan secara kebetulan, tetapi bersandarkan kesungguhan, kebolehan dan kemampuan atlet kita sendiri hasil daripada perancangan yang rapi.” - YAB Dato' Seri Ahmad Said.

Kerajaan Terengganu mengumumkan imbuhan untuk setiap atlet Terengganu yang berjaya mendapat pingat dalam temasya Sukan Malaysia Ke-14 Kuala Lumpur kekal RM3,000 bagi setiap pingat emas, RM2,000 bagi setiap perak dan RM1,000 untuk gangsa.

Bagaimanapun, jumlah itu akan meningkat kepada RM5,000 (setiap pingat emas), RM3,000 (perak) dan RM2,000 gangsa sekiranya Terengganu kekal juara untuk kali ketiga berturut-turut dalam temasya yang bermula 2 hingga 12 Jun itu.

Selain itu, ganjaran lain yang menanti setiap atlet adalah wang imbuhan serta- merta sebaik sahaja memenangi pingat, masing-masing RM300 bagi setiap pingat emas, RM200 perak dan RM100 untuk gangsa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan insentif itu sempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Penasihat Undang-Undang negeri, YB Noorbahri Baharuddin; Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar.

Hadir sama, Ketua Kontinjen Sukma Ke-14 merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaaan (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda.

“Saya harap atlet Terengganu berjuang habis-habisan untuk membawa bendera Terengganu dan juga maruah negeri serta berusaha mempertahankan kejuaraan dalam Sukma Ke-14 nanti.

“Kita buktikan bahawa kita bukan jaguh kampung dan kita boleh memenangi Sukma dua kali berturut-turut sebelum ini bukan secara kebetulan, tetapi bersandarkan kesungguhan, kebolehan dan kemampuan atlet kita sendiri hasil daripada perancangan yang rapi,” kata Menteri Besar lagi.

Kontinjen Terengganu mensasarkan 27 emas, 18 perak dan 12 gangsa menerusi 17 acara yang disertai pada temasya sukma kali ini.

Seramai 214 atlet melibatkan 119 lelaki dan selebihnya wanita akan mempertahankan misi Terengganu yang turun dengan moto `Terengganu Hanelang’ untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut selepas menjuarai temasya itu pada 2008 dan 2010 yang lalu.