Halaman

10 May 2011

Industri petrokimia Pulau Kerengga perlu diteruskan

Oleh: Aida Abd Rahman



YB Haji Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) meminta agar projek industri petrokimia di Pulau Kerengga bernilai RM10 bilion yang dirancang pada 1993 melibatkan Kerajaan Terengganu dan Syarikat Asia Pacific Refinery (APR) diteruskan supaya daerah Marang turut mendapat faedah hasil pelaburan tersebut.

Katanya, satu perjanjian persefahaman (MoU) sudahpun ditandatangani bagi melaksanakan projek itu yang bertujuan membangunkan kawasan Pulau Kerengga dan mengunjur ke Sungai Merchang, Marang dengan keluasan kira-kira 4,000 hektar.

“Mungkin Mou belum dibatalkan sehingga sekarang yang melibatkan komponen `refinery plant’, `chemical plant’, Pusat Latihan Industri Kimia dan pembinaan pelabuhan Pulau Kerengga yang menurut kajian dikatakan pelabuhan paling dalam serta strategik di Malaysia.

“Industri kimia yang dirancang adalah memproses dan menapis minyak mentah atau `crude oil’ yang diimport dari Iran atau Negara Teluk dan pada masa yang sama menjual serta mengeksport air dari Tasik Kenyir ke Arab Saudi,” katanya ketika membahaskan ucapan Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Sri Bendahara Raja di sidang Dewan Undangan Neger, hari ini.

YB Haji Alias berkata, peruntukan berjumlah kira-kira RM10 bilion itu mampu menyediakan 20,000 peluang pekerjaan, sekaligus menjadi pemangkin pembangunan di daerah Marang selain turut memberi limpahan faedah ke Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Dungun.

Beliau turut meminta Kerajaan Terengganu mengenal pasti pelabur baru di bidang petrokimia dan mengadakan usahasama dalam bidang pelaburan itu, jika syarikat APR tidak lagi berminat meneruskan projek itu.

Pada masa yang sama, YB Haji Alias juga tidak mahu apabila menyebut mengenai perindustrian, rakyat hanya tertumpu kepada daerah Kemaman disebabkan faktor kemudahan infrasruktur sedia ada di daerah itu termasuk Pelabuhan Kemaman dan Pelabuhan Kuantan.

“Ini menyebabkan pembangunan antara daerah-daerah tidak seimbang kerana daerah lain dalam Terengganu tidak mempunyai kawasan industri yang berdaya saing. Saya mahu semua pihak melihat semula perkembangan dan pembangunan yang berjalan di daerah Marang yang dikatakan agak mundur dalam aspek pembangunan dan kegiatan perindustrian berbanding daerah lain di Terengganu,”katanya.

YB Alias berkata, pembukaan kawasan industri baru itu mampu menarik penglibatan pelabur luar dan dalam negara sebagai antara teras memacu perkembangan ekonomi negeri berdasarkan pelan hala tuju perkembangan Terengganu.

Malah, bidang Industri Kecil Sederhana (IKS) juga disentuh YB Alias apabila kawasan perindustrian Bukit Kor yang menjadi lokasi sebagai tapak kegiatan IKS, bagaimanapun kemajuan kawasan itu kurang memberangsangkan dan berharap kerajaan negeri mampu melakukan lonjakan bagi menarik lebih ramai pelabur ke kawasan itu.

Selain itu, katanya, Bukit Kor juga bakal menjadi hub pendidikan di negeri ini dengan menempatkan empat universiti tempatan.

Antara universiti yang bersetuju menempatkan kampus masing-masing termasuk Kolej Universiti Sedaya Antarabangsa (UCSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Kebangsan Malaysia (UKM) dan terbaru Universiti Kuala Lumpur (UniKL) . UCSi sudah mula operasi, manakala UMT baru memulakan pembersihan kawasan dan kerja-kerja tanah.

Manakala Universiti Terbuka Malaysia (OUM) masih belum melakukan apa-apa di kawasan itu dan pada masa yang sama UniKL dan UKM hanya menunjukkan minatnya sahaja untuk membuka kampus di kawasan yang sama.

“Peluang keemasan bagi Marang dan Kuala Terengganu menyaksikan kewujudan hub pendidikan di Selatan Kuala Terengganu yang mampu menempatkan 25,000 pelajar pada satu-satu masa dan dijangka mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan, selain mampu menampung kira-kira 100,000 penduduk,” katanya.

YB Haji Alias sebelum itu menyentuh mengenai kandungan ucapan YTM Tengku Sri Bendahara Raja secara komprehensif menggambarkan inisiatif kerangka pembangunan yang sedang dan akan dijalankan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, bersama jentera parti dan pentadbiran Kerajaan Terengganu bagi merealisasikan cita-cita bersama menjadikan Terengganu negeri maju menjelang 2020.