Halaman

15 May 2011

Jadikan al-Quran sebagai panduan

Oleh: Suriati Ali



Al-Quran hendaklah dijadikan sebagai tonggak penting dalam setiap aktiviti dan program yang dijalankan bagi membangun Terengganu dan negara.

Setiausaha Kerajaan Negeri YB Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata interaksi yang berterusan dengan al-Quran sudah pasti menjanjikan barakah yang berpanjangan daripada Allah S.W.T kepada negara dan umat Islam.

“Antara mujizat dan keunggulan al-Quran yang maha agung sekiranya dihayati dan diamalkan dengan penuh ikhlas dan tawaduk, akan melahirkan insan cemerlang dan mampu mencipta tamadun.

“Tema 1Malaysia 1Ummah yang dipilih bagi majlis kali ini amat betepatan dengan usaha kerajaan yang sentiasa konsisten dalam menyatukan pelbagai kaum di negara ini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Tilawah al-Quran Peringkat Terengganu tahun 1432H/ 2011M Kali Ke-54 di Stadium Tertutup Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu, malam kelmarin (12 Mei).

Majlis perasmian penutup itu disempurnakan Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Sri Laksamana Raja yang turut hadir bersama isteri To’ Puan Hajjah Rahimah Awang.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Alias Abdullah.

Dato, Haji Mazlan turut memberitahu, dalam berdepan isu global, wahdah atau kesatuan ummah sewajarnya menjadi satu agenda penting.

“Berpaksikan iman dan taqwa yang mantap, kegiatan amar ma’aruf dan nahi mungkar perlu dijadikan teras utama dalam segala tindakan,” katanya