Halaman

01 May 2011

Kerajaan BN bertanggungjawab – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menegaskan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan sentiasa menunaikan segala janjinya kepada rakyat.

Malah, dalam banyak hal BN melaksanakan pelbagai projek walaupun ia tidak pernah berjanji dengan rakyat untuk melaksanakannya.

Beliau berkata, kedatangan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak ke Terengganu bukti kecaknaan Kerajaan BN kepada rakyat, khususnya penduduk negeri ini.

“Kita buat macam-macam untuk rakyat dan kita tidak pernah tipu rakyat. Tetapi selalunya rakyat yang tipu kerajaan,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyong, petang semalam.

Dalam menyediakan projek perumahan, katanya, sudah banyak kediaman lebih selesa disediakan kerajaan negeri untuk rakyat di mana harga jualannya jauh lebih rendah daripada kos pembinaan.

“Oleh itu, kita mahu rakyat bersyukur dan member sokongan kepada kerajaan. Tak usahlah dengan kata-kata pemimpin pembangkang kerana mereka membawa racun kepada rakyat,” katanya.