Halaman

25 May 2011

Lima anugerah bakal diumum sempena Sambutan Hari Guru

Oleh: Suriati Ali


Sambutan Hari Guru peringkat Negeri Terengganu 2011 akan diadakan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun esok (26 Mei). - Foto: Zulkipli Putra.

Kira-kira 1,500 guru dan pensyarah di Terengganu dijangka hadir sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2011, yang diadakan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, esok (26 Mei).

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud, berkata sambutan kali ini cukup bermakna apabila bakal mengumumkan Anugerah Tokoh Guru dan Anugerah Guru Berjasa.

Katanya, anugerah lain termasuk, pensyarah cemerlang, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) terbaik dan anugerah khas kepimpinan PIBG paling cemerlang.

“Apa yang istimewanya bagi tiga penerima Anugerah Guru Berjasa adalah mereka terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu Melayu, India dan Cina. Guru terbabit dipilih berdasarkan aspek kepimpinan dan tauladan yang mulia selain memenuhi semangat 1Malaysia.

“JPNT yakin dengan adanya anugerah sedemikian, mendorong individu berkaitan lebih bersemangat mencurahkan keringat semata-mata untuk kepentingan anak-anak, Terengganu dan juga negara. ,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita, hari ini (25 Mei).

Sempena sambutan bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara, JPNT telah melaksanakan Program Memasyarakatkan Guru; Memasyarakatkan Murid yang melibatkan guru, pemimpin masyarakat, ibu bapa, ahli masyarakat dan murid secara serentak di seluruh negeri bermula 13 Mei lalu.

Aktiviti lain termasuk gotong royong membersihkan masjid dan tanah perkuburan Islam di mana melibatkan 22 masjid seluruh Terengganu.

Encik Razali berkata, dia berasa terharu dengan semangat juang dan pengorbanan gigih guru kerana telah berjaya meletakkan pendidikan Terengganu di mercu kejayaan.

“Hasil kejayaan demi kejayaan menerusi pendidikan, maka warga guru hari ini telah mendapat tempat di hati pemimpin, ibu bapa dan ahli masyarakat.

“Bersama-samalah kita mengangkat tinggi kecemerlangan pendidikan Terengganu dalam merealisasikan agenda Terengganu Negeri Anjung Ilmu,” katanya.

Encik Razali berkata, sebagai pendidik, kita perlu bersama-sama menghayati dan menyahut cabaran pendidikan masa kini dan akan datang dengan penuh syukur serta sabar dalam menunaikan amanah.