Halaman

15 May 2011

MB lulus gelanggang futsal

Oleh: Suriati Ali



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said meluluskan sejumlah peruntukan bagi membina gelanggang futsal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk yang sudah lama dinanti-nantikan penduduk terutama belia di kawasan itu.

Berita gembira itu diumumkan pimpinan utama negeri ketika berucap di Program Sehari Bersama Menteri Besar di perkarangan Masjid Ungku Long, Kuala Ibai, Kuala Terengganu, semalam (14 Mei).

Antara kawasan lain yang dikunjungi Dato’ Seri Haji Ahmad bermula seawal jam 7.30 pagi itu termasuk Pantai Chendering, Taman Seri Desa Chendering, Pusat Komuniti Kampung Raja, Taman Permin Jaya,Pusat Komuniti Che Kundor dan Taman Bukit Bayas.

Pada sebelah malam pula, Dato’ Seri Haji Ahmad hadir mendengar ceramah politik, jamuan makan malam bersama rakyat dan seterusnya menyampai hadiah kepada warga berjasa, rumah terbersih.

Turut hadir dalam program sehari itu, Pegawai Pembangunan DUN, Dato’ Che Mat Jusoh; Pegawai Pembangunan Parlimen yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan beberapa pemimpin masyarakat.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan sanggup membelanjakan jutaan ringgit setahun semata-mata ingin memberi kemudahan dan keperluan kepada penduduk walaupun mereka tinggal di kawasan pembangkang.

Katanya, pembangkang pula hanya pandai menghentam apa yang dilaksanakan kerajaan dan bukannya ingin bersama-sama berusaha membantu rakyat.

“Oleh itu, rakyat perlu sedar dengan memilih parti yang boleh memberi jaminan hidup dan bukannya parti yang tiada hala tuju.

“Kita tidak mahu banyak cuma mahu rakyat mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang sebagai balasan apa yang diberi ini, termasuk gelanggang futsal,” katanya.