Halaman

29 May 2011

Pertandingan kumpul sampah semai amalan kebersihan sejak kecil

Oleh: Aida Abd Rahman


Penyertaan golongan cilik dalam kempen menjaga kebersihan persekitaran dan memupuk kesedaran itu sejak usia muda lagi.

Kanak-kanak perlu didedahkan dengan kesedaran menjaga alam sekitar dan menghindari diri daripada tabiat membuang sampah di merata tempat supaya mereka dapat meneruskan amalan murni itu sehingga dewasa.

Menyedari tanggungjawab itu, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kubang Parit, mengambil insiatif menganjurkan Program Gotong- Royong Perdana 2011 dengan menyediakan satu acara khusus melibatkan golongan itu, iaitu pertandingan mengumpul sampah terbanyak.


Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Mohd Sabri Alwi (kanan) dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri, Haji Wan Mahyuddin Ngah.

Turut Hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri, Haji Wan Mahyuddin Ngah.
Perasmian program disempurnakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Mohd Sabri Alwi, di perkarangan Balai Raya Kampung Kubang Parit, semalam.

Turut Hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri, Haji Wan Mahyuddin Ngah.

Pengerusi JKKK Kubang Parit, Encik Rusli Bidi, berkata seramai 30 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah menyertai acara yang memerlukan mereka mengumpul sampah-sarap seperti botol, tin, kertas dan tayar terpakai di persekitaran rumah masing-masing dalam tempoh dua hari sebelum tibanya hari perasmian program.

Menurutnya, acara itu menggalakkan penyertaan golongan cilik dalam kempen menjaga kebersihan persekitaran dan memupuk kesedaran itu sejak usia muda lagi.

Katanya, selain program membersih dan memperindahkan kawasan perkuburan, masjid, balai raya dan juga Taman Bimbingan Kanak-Kanak Kemas, kira-kira 200 penduduk kampung turut berpeluang mendapat 51 hadiah cabutan bertuah sebaik selesai kerja gotong-royong yang bermula seawal jam lapan pagi itu.


Aktiviti yang memupuk kesedaran menjaga alam sekitar dan menghindari diri daripada tabiat membuang sampah di merata tempat.


“Selain memupuk budaya menjaga kebersihan dalam diri semua penduduk tanpa mengira lapisan usia, program ini juga dapat menghindari wabak denggi daripada berulang di kawasan kampung ini.

“Usaha menanganinya perlu dititikberatkan oleh semua dan kita bertuah kerana agensi kerajaan seperti Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan kesihatan Negeri serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Terengganu turut menyokong program murni ini,” katanya.

Selain itu, seramai sepuluh anak kampung yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia turut menerima cenderahati sempena program itu. Masing-masing mendapat hamper makanan dan wang tunai antara RM50 hingga RM100 seorang.