Halaman

03 May 2011

Program Gegar 5S merubah wajah Pejabat Daerah Setiu.

Oleh: Esah Abdullah

Program ‘gegar 5S’ yang dilancarkan pada dua tahun lalu memberi kesan mendalam kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran Pejabat Daerah dan Tanah Setiu dan menerima sijil pengiktirafan dari Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

“Pendedahan dan latihan dalam kursus kakitangan pelbagai bahagian pentadbiran telah menyuntik semangat dan bersama merubah wajah setiap ruang pejabat dan penyusunan fail dengan kemas dan bersih,” kata Pegawai Daerah Setiu, Haji Mohamad Nor Ibrahim.

Katanya, usaha melaksanakan sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal (5S) ternyata menambahkan keakraban serta mengeratkan ikatan silatulrahim kakitangan pelbagai bahagian yang selama ini agak terpisah kerana kesibukan menjalankan urusan masing-masing.

“Biar pun jabatan menghabiskan banyak belanja untuk membersih dan menyusun atur ruang pejabat, namun kepuasan yang kami dapat apabila diiktiraf oleh MPC dan telah disempurnakan oleh Setausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah,” katanya di majlis Penyerahan Sijil 5S di pejabat itu semalam.

Pada majlis berkenaan Dato’ Haji Mazlan telah menerima Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti 5S daripada Pegawai MPC, Encik Mohd Yazid Abdul Majid, kemudian diserahkan kepada Encik Mohamad Nor.

“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini jabatan berjaya mengutip hasil tanah berjumlah RM657,000 dan daripada 33,438 hak milik sebanyak 9,486 telah melunaskan bayaran masing-masing,” katanya.

Katanya, pelaksanaan pendekatan turun padang dengan membuka kaunter di tempat-tempat awam termasuk di pasar minggu untuk memudahkan orang ramai membuat bayaran hasil tanah masing-masing.

Selain itu katanya, terdapat 28 kekosongan pelbagai jawatan di pejabat daerah dan lima kekosongan di bahagian pentadbiran tanah dapat diisi tahun ini dalam usaha memantapkan lagi jabatan yang banyak berurusan dengan orang ramai.