Halaman

10 May 2011

Rekrut juruteknik selenggara alat siaraya di masjid

Oleh: Aida Abd Rahman



Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu perlu merekrut juruteknik bagi menyelenggara peralatan siaraya di masjid seluruh negeri supaya ia dapat diselenggara secara berkala dan boleh digunakan lebih lama dan terjamin.

“Kebanyakan masjid selalu alami kerosakan `PA System’ berpunca daripada kegiatan pegawai masjid yang terlalu kreatif mengendalikan peralatan siaraya. Kerosakan peralatan ini melibatkan kos yang besar dan biasanya dibebankan kepada wakil rakyat kawasan (untuk membeli baru),” kata YB Haji Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) ketika membahaskan ucapan Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Sri Bendahara Raja dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau sebelum itu turut berterima kasih dengan komitmen Kerajaan Terengganu yang meneruskan agenda membangunkan masjid di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Terengganu sebagai antara langkah kerajaan bagi meningkatan syiar Islam.

Katanya, DUN yang dipimpinnya terpaksa melalui penggiliran mengikut daerah bagi membangunkan rumah ibadat itu berikutan sebahagian DUN termasuk dalam daerah Kuala Terengganu sementara sebahagian lagi dalam daerah Marang.

“Pada 2010 giliran kampung di kawasan yang terletak di daerah Kuala Terengganu, namun pada tahun ini satu lagi kampung di daerah Kuala Terengganu menuntut supaya masjid baru dibina di kampung mereka.

“Sedangkan pada masa yang sama kampung di daerah Marang sepatutnya menerima giliran mereka dan mendesak kerajaan membina masjid baru atas alasan mahu menampung jemaah di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah yang sedang dirancang pembinaannya,” katanya.

Beliau kemudiannya memohon supaya kerajaan negeri dapat mempertimbangkan pembinaan dua masjid di DUN Alor Limbat melibatkan Masjid Banggol Katong yang mampu memuatkan antara 750 hingga 1,000 jemaah dan kedua, Masjid Alor Limbat dengan kapasiti 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Katanya, kerajaan juga perlu menangani vandalisme dan jenayah yang banyak berlaku di kawasan masjid seluruh negeri ini dengan memasang kemudahan kamera litar tertutup (CCTV).