Halaman

07 May 2011

RM2.58 juta untuk khidmat pergigian pelajar

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri membelanjakan RM2.58 juta bagi menyediakan rawatan pergigian kepada kira-kira 242,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Terengganu melalui Perkhidmatan Pergigian bergerak sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A.Rahman Mokhtar, berkata peruntukan itu juga digunakan bagi menyediakan
perkhidmatan yang sama untuk kemudahan masyarakat di kawasan luar bandar.
Katanya, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan kerajaan mampu menyerlahkan prestasi Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Katanya tahap kesihatan pergigian kanak-kanak berumur bawah enam tahun didapati masih rendah berdasarkan laporan kaji selidik pada tahun 2007 yang menunjukkan bahawa purata kerosakan gigi golongan itu berada pada tahap 6.05 peratus.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Khidmat Masyarakat Klinik Pergigian Bergerak 1Malaysia dan Kem Kesihatan Negeri Terengganu di pekan Kuala Besut.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian), Dr N.Jegarajan S Pillay, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Mohamamad Omar dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Mohd Jusoh.

Dr A.Rahman berkata ketika ini terdapat 80 pegawai pergigian daripada 104 jawatan dengan nisbah seorang pegawai bagi 13,000 penduduk berkhidmat di Terengganu, tidak termasuk lima pakar pergigian dalam bidang pembedahan mulut, pakar pergigian kanak-kanak, pakar orthodontik dan pakar periodontik.