Halaman

16 May 2011

Syarat baru bantuan persediaan ke IPTS, elak penipuan

Oleh: Aida Abd Rahman


Yayasan Terengganu memperuntukkan RM703,500 bagi kursus matrikulasi dan sejumlah RM808,250 bagi program diploma yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM1, 511,750.

Kerajaan Terengganu menetapkan syarat baru kepada pelajar negeri ini yang bakal melanjutkan pelajaran di di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) supaya mendapatkan pengesahan pendaftaran daripada pusat pengajian berkenaan terlebih dahulu sebelum mereka memohon bantuan persediaan Yayasan Terengganu (YT) bagi mengelak berulangnya kes penipuan.

Syarat baru itu berikutan terdapat kes segelintir pelajar yang sanggup menyalah gunakan surat tawaran melanjutkan pelajaran bagi mendapatkan bantuan RM500 seorang sedangkan mereka tidak memasuki IPTS berkenaan.


Sehingga kini, lapan kes berjaya dikesan dan dilaporkan kepada pihak polis berhubung kejadian itu di seluruh negeri dua tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya kesal dengan sikap segelintir pelajar yang sanggup mengambil kesempatan daripada bantuan dan kebajikan ikhlas yang disediakan kerajaan negeri.

“Pernah berlaku dahulu apabila tunjuk surat tawaran kepada kita dan selepas duit diserahkan kepada mereka, mereka tidak melanjutkan pelajaran di IPTS berkenaan.

“Sebagai pengesahannya, cop pengesahan daripada IPTS berkenaan yang membuktikan mereka menjelaskan bayaran pendaftaran itu, barulah kita membayar kepada mereka RM500 seorang,”katanya ketika sidang media selepas menyampaikan bantuan persediaan YT ke IPT Peringkat Matrikulasi/Diploma Sesi 2011/2012, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar dan Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat.

Dalam pada itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta kepada 2,482 pelajar seluruh Terengganu yang bakal melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara peringkat matrikulasi dan diploma bagi kemasukan pertama bulan ini.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,407 pelajar yang mendapat bantuan persediaan menerusi Yayasan Terengganu, menerima RM500 seorang bagi mengikuti kursus matrikulasi, manakala selebihnya menerima RM750 setiap seorang bagi pengajian peringkat diploma.

Yayasan Terengganu memperuntukkan RM703,500 bagi kursus matrikulasi dan sejumlah RM808,250 bagi program diploma yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM1, 511,750.



No comments: